Dua lelaki aktif samun, cederakan mangsa ditahan

No Image Caption
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis menahan dua lelaki aktif menjalankan kegiatan samun dan ragut termasuk mencederakan mangsa ketika melakukan jenayah, dalam serbuan berasingan di Bukit Mertajam, di sini pada malam dan awal pagi Rabu.

Dua lelaki yang tidak bekerja itu dengan suspek pertama berumur 27 tahun ditahan pukul 11.30 malam di Taman Seri Pengkalan, manakala rakannya berumur 26 tahun ditahan dalam serbuan di Taman Pauh pada 1.10 pagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata tangkapan dua lelaki itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita yang juga mangsa ragut dan turut dicederakan suspek dalam kejadian pada 12 Mei lepas.

"Kejadian itu berlaku pukul 7.30 pagi di Jalan Taman Setia, Bukit Tengah iaitu ketika wanita tersebut sedang menunggang motosikal, suspek telah meragut rantai emas pada leher mangsa sehingga terjatuh sebelum memukulnya dengan topi keledar pada kepala sehingga cedera sebelum mereka melarikan beg tangan wanita berkenaan," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Beliau berkata siasatan mendapati suspek pertama yang mempunyai 16 rekod lampau dan rakannya melakukan kegiatan itu di sekitar Bukit Tengah dan Seberang Jaya sejak beberapa bulan lepas dengan menunggang motosikal serta mencari mangsa juga bermotosikal terutama wanita.

Shafee berkata, siasatan juga mendapati dua lelaki tersebut turut terlibat dalam kes curi kenderaan dan mereka yang positif dadah kini direman lima hari bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian menumbuk dan membaling pisau ke arah pegawai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), dalam insiden di Pasar Awam Pulau Tikus, di sini pada Ahad lepas.

Katanya, wanita berumur 58 tahun itu ditahan di rumahnya di Jalan Burmah, di sini pada 1.30 tengah hari semalam dan dia telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini selepas pihaknya selesai merekodkan keterangan suri rumah tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kertas siasatan berhubung kes itu telah siap dan ia dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya hari ini untuk tindakan lanjut, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam semasa menjalankan tugas," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Dalam kejadian Ahad lepas, wanita itu dipercayai berang dengan tindakan pegawai MBPP yang menegurnya telah bertindak menumbuk perut seorang daripada pegawai tersebut sebelum dia masuk ke dalam pasar dan membaling pisau ke arah mereka. - Bernama