PRK Semenyih: Parti lain pula kena serang

Pimpinan Pas pada sidang media di Terengganu, Ahad lalu.
A
A

SHAH ALAM - Parti lain yang bertembung di PRK DUN Semenyih tetapi parti lain pula yang kena serang, kata Pemuda Pas.

Pengarah Strateginya, Syahir Sulaiman menyifatkan pendirian Pas sudah jelas menyokong BN sebaik mendapat perkhabaran kekosongan kerusi DUN itu namun diragui apabila pertemuan antara parti Islam itu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didedahkan.

“Malah Perdana Menteri secara bersahaja memaklumkan kepada pihak media, ‘Pas tidak akan menyokong UMNO’ menyebabkan timbul kritikan dan serangan terhadap pendirian Pas.

“Namun keributan yang melanda terus reda setelah Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) memberikan penjelasan kepada Jawatankuasa Harian Pas Pusat 17 Februari lalu di Marang diikuti dengan kenyataan media oleh Setiausaha Agung Pas (Datuk Takiyuddin Hassan),” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, hari ini.

Episod pertemuan Pas dengan Dr Mahathir didedahkan apabila pemimpin nombor satu negara itu mendakwa Pas tidak akan menyokong UMNO dalam pilihanraya kecil itu malah Abdul Hadi ada membuat pengakuan secara bertulis.

Namun dakwaan itu dinafikan oleh pimpinan Pas yang hadir sama menyertai Abdul Hadi dalam pertemuan itu.

Syahir yang juga Setiausaha Politik Abdul Hadi akui ada pihak yang menganggap Pas tidak konsisten, sering mengubah pendekatan hingga ada yang menyifatkan parti itu sudah terperangkap dan tiada masa depan

Namun katanya, secara hakikat segala strategi yang diambil oleh Pas pastinya mengundang rasa cemburu serta sangsi di pihak kawan dan lawan.

“Jika dilihat secara objektif dan rasional, jelas pendirian Pas adalah konsisten demi menjaga kepentingan Islam yang tidak berubah mengikut zaman.

“Keanjalan pendekatan yang diambil oleh Pas dapat dilihat daripada strategi berpolitik yang mendahulukan damai dengan semua pihak (politik damai) tanpa mengira mereka yang lunak ingin berkawan ataupun yang tegar ingin berlawan.

“Pendekatan BPMS inilah yang menjadi jambatan untuk Pas meramaikan ahli dan penyokongnya serta menjadi rahsia ketahanan Pas yang tidak pernah diharamkan sejak awal penubuhannya,” katanya.

Tambahnya, “tidaklah sukar untuk difahami pendirian serta pendekatan Pas kerana kuncinya adalah untuk menjaga kepentingan Islam dan strateginya adalah untuk mendaulatkan kedudukan Islam.”