Rakyat perlu lebih disiplin, bertanggungjawab tangani wabak

Hussamuddin (kanan) pada program Sinar Live bertajuk 'Mendepani Krisis Covid-19: Apa Tindakan Kita?' yang dihoskan oleh Nurul Riduan Nor Ashaha menerusi Facebook Sinar Harian pada Selasa.
Hussamuddin (kanan) pada program Sinar Live bertajuk 'Mendepani Krisis Covid-19: Apa Tindakan Kita?' yang dihoskan oleh Nurul Riduan Nor Ashaha menerusi Facebook Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Sudah tiba masanya rakyat perlu lebih berdisiplin dan bertanggungjawab dalam usaha membantu kerajaan menangani penularan Covid-19 di negara ini.

Ia berikutan kes harian Covid-19 semakin meningkat dan membimbangkan apabila negara kembali merekodkan sebanyak 4,865 kes pada Selasa dengan kes kematian mencatatkan angka tertinggi iaitu 47 kematian.

Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, individu yang disahkan positif Covid-19 perlu mengambil tanggungjawab dengan mengikut sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) dan rawatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun menurutnya, orang ramai tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan, sebaliknya perlu mengambil inisiatif dengan melaksanakan kuarantin kendiri di rumah.

“Sekiranya mereka mempunyai kontak rapat dengan individu disahkan positif Covid-19, mereka perlu mengasingkan diri daripada berjumpa dengan orang lain. Walaupun keputusan ujian diterima kemudian adalah negatif, mereka juga perlu kuarantin selama 10 hari di rumah.

“Bagi yang positif pula, jika tidak mempunyai apa-apa gejala, mereka boleh rawat sendiri di rumah tanpa perlu ke hospital.

“Pihak KKM boleh beri informasi yang jelas mengenai proses-proses ini. Ajar mereka bagaimana nak merawat diri,” katanya.

Mengulas lanjut, Hussamuddin turut mencadangkan supaya kerajaan menambah baik dasar sebelum ini mengenai prosedur menguruskan pesakit positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pengubahsuaian dasar berkenaan penting bagi mengurangkan beban petugas barisan hadapan terutama di hospital dan juga Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

“Kalau kita tengok di United Kingdom, kerajaan mereka mengarahkan sesiapa yang positif Covid-19 tetapi tidak bergejala perlu kuarantin di rumah.

“Berbanding dengan Malaysia, semua pesakit perlu hadir ke Pusat Penilaian Covid (CAC) Stadium Malawati. Kemudian dihantar pula ke MAEPS sedangkan keadaan di situ dah tak boleh nak tampung,” katanya.

Beliau menambah, perkhidmatan kesihatan tersebut patut diberi keutamaan kepada pesakit Covid-19 yang betul-betul memerlukan sahaja.

“Mereka ini meliputi pesakit yang berada pada tahap tiga, empat dan lima.

“Bagi individu yang berada pada tahap satu hingga dua, masing-masing perlu kuarantin sendiri di rumah berdasarkan SOP yang ditetapkan.

“Jadi, ini yang saya rasa kita kena ada sedikit pengubahsuaian dasar tentang cara-cara menguruskan pesakit positif Covid-19,” katanya.