X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia rugi RM11.9 bilion jika LTS diswasta

Hussin Shahar (tengah) memegang poster bantahan terhadap syarikat WCT dan SSSB yang ingin mengambil alih Lapangan Terbang Subang.
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Pekerja-pekerja Malaysia Airport (Kesma) mendakwa Malaysia akan kerugian sebanyak RM11.9 bilion sekiranya Lapangan Terbang Subang berjaya diambil alih oleh WCT Holdings Bhd dan Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB).

Yang Dipertuanya, Hussin Shahar berkata, usaha yang dilakukan oleh WCT dan SSSB tersebut hanyalah untuk menguntungkan syarikat mereka sendiri.

Menurutnya, WCT dan SSSB turut bercadang untuk mewujudkan semua operasi jet atau kapal terbang berskala besar tanpa mengambil kira penduduk sekitarnya yang akan terjejas.

“Ini akan menyebabkan pencemaran bunyi dan meninggikan risiko kemalangan pada penduduk sekitar,” katanya dalam memorandum yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri pada Selasa.

Beliau berkata, WCT dan SSSM telah menyerahkan satu kertas cadangan untuk mengambil alih Lapangan Terbang Subang kepada Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Katanya, jika usaha tersebut berjaya, ia membawa maksud harta dan aset warisan negara akan terlepas ke tangan pihak bukan bumiputera.

“Kita terus lemah dan agenda memperhambakan warga pribumi akan menjadi lebih kuat dengan kawalan ke atas hab pengangkutan.

“Lapangan Terbang Subang merupakan aset yang menguntungkan yang beroperasi di bawah kendalian Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). Jasa MAHB mengemudi dan mengendalikan lapangan terbang ini telah banyak menyumbang kepada reputasi dan secara ekonomi kepada negara,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Hussin berkata, pengambilan lapangan terbang tersebut turut melibatkan soal keselamatan pintu masuk negara yang bakal diswastakan kerana ia akan memberi peluang untuk menggunakannya dengan sewenang-wenangnya.

Tambahnya, penswastaan penuh tersebut akan melemahkan MAHB secara sepenuhnya. Hanya tujuh daripada 39 lapangan yang beroperasi di bawah MAHB menghasilkan keuntungan.

“Keuntungan ini adalah untuk membiayai kos operasi lapangan terbang domestik dan Stolport yang terletak di kawasan pedalaman.

“Kehilangan Lapangan Terbang Subang secara langsung akan menjejaskan pendapatan MAHB. Ia akan menyusutkan nilai hab KLIA dengan pengurangan lalu lintas penumpang,” katanya.

Menurutnya, pengurangan keperluan tenaga kerja juga berkemungkinan akan berlaku iaitu sebanyak 25 peratus bersamaan 1,100 pekerja.

“KLIA mempunyai 4,000 pekerja di kedua-dua terminal, di mana 85 peratus daripadanya ialah B40. Jadi, ia akan memberi kesan sekiranya pihak syarikat terpaksa ambil pendekatan mengoptimumkan kos,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!