Yan diisytihar sebagai Pelabuhan Persekutuan

Perairan Yan, Kedah diisytiharkan sebagai Pelabuhan Persekutuan di bawah Seksyen 5, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Perairan Yan, Kedah diisytiharkan sebagai Pelabuhan Persekutuan di bawah Seksyen 5, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
A
A
A

PUTRAJAYA - Perairan Yan, Kedah diisytiharkan sebagai Pelabuhan Persekutuan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) pada 10 Mei lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perisytiharan itu dibuat di bawah Seksyen 5, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

"Suatu Had Pelabuhan juga telah diisytiharkan di dalam warta sama, yang melibatkan keluasan perairan 600 kilometer persegi dengan mengambil kira jarak sejauh 20 batu nautika dari pantai di bawah Seksyen 6, ordinan sama," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Ka Siong, Northern Corridor Implementation Authority (NCIA) selaku agensi yang bertanggungjawab ke atas pembangunan Wilayah Utara berhasrat untuk melakukan aktiviti perkapalan dan pembangunan di pesisiran Pulau Bunting yang terletak di perairan Yan.

"Pembangunan di Yan sebagai sebuah pelabuhan dijangka meningkatkan aktiviti perkapalan di perairan tersebut sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan serta membangunkan kawasan sekitar," katanya.

Beliau berkata, cadangan pembinaan itu turut dapat menyokong pembangunan industri perkapalan serta memajukan sektor pelancongan.

"Ia juga berupaya menjana ekonomi negara dan Kedah," katanya.

Katanya, pelabuhan itu akan dikawal selia oleh Jabatan Laut Malaysia (JLM), selaku agensi utama di bawah MOT yang bertanggungjawab mengawal selia isu-isu berkaitan perkapalan dan keselamatan pelayaran termasuk pelabuhan.

Artikel Berkaitan: