Selamatkan Lapangan Terbang Subang

Lapangan Terbang Subang mempunyai nilai sentimental kepada ramai rakyat Malaysia selain lokasinya yang strategik.
Lapangan Terbang Subang mempunyai nilai sentimental kepada ramai rakyat Malaysia selain lokasinya yang strategik.
A
A
A

JANGAN jual aset negara” Itu kata Pak Jamal (seorang jiran) kepada saya pada pagi Selasa minggu lalu sewaktu kami keluar dari pekarangan surau di taman perumahan.

Sebelum itu, dia tanya saya tentang perkembangan baru mengenai Lapangan Terbang Subang, yang saya jawab “Belum. Putrajaya masih senyap, tak kata apa-apa”.

“Barangkali tengah bingung pasal PKP baru,” katanya dengan ketawa kecil.

Beberapa hari sebelum itu, banyak pihak telah menyatakan rasa kurang senang mereka mengenai isu ini.

Pada 6 Mei lalu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mendesak kerajaan agar tidak mengambil kesempatan sewaktu darurat ini (dan Parlimen tidak bersidang) ‘untuk menjual’ lapangan terbang itu kepada pihak swasta.

Jika aset penting milik negara itu jatuh ke tangan pihak lain, ia boleh menyebabkan kerugian besar sekitar RM11.9 bilion kepada Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tegasnya.

“Tolak runding terus. Buka Parlimen. Kita debat. Ini harta rakyat dan negara,” kata Salahuddin dalam akaun Twitternya.

Lapangan Terbang Subang, yang mula beroperasi pada 1965 dan dijenamakan Lapangan Terbang Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 1996, kini menjadi pangkalan penting perkhidmatan penerbangan Firefly dan Malindo Airlines.

Artikel Berkaitan:

Operasi di lapangan terbang itu dikendalikan oleh Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) di bawah satu konsesi yang akan berakhir (jika tidak disambung lagi) pada 2069. Khazanah, KWSP dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) mempunyai pegangan kolektif sebanyak 53 peratus dalam syarikat itu.

“Tidak ada sebab langsung lapangan ini perlu diserahkan kepada pihak lain,” kata Pak Jamal, sambil memetik pepatah Inggeris.

If it ain’t broke, don’t fix it’ (Jika tak rosak, jangan betulkan).

Khabarnya lapangan itu sedang diintai oleh Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB), sebuah syarikat milik penuh WCT Holdings Bhd (WHB), yang mana pengerusi eksekutifnya adalah jutawan Tan Sri Desmond Lim, pemaju gedung beli-belah Pavilion di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Mengikut laporan media, SSSB telah menghantar satu cadangan kepada Kementerian Pengangkutan untuk mengambil alih keseluruhan lapangan terbang itu untuk dibangunkan semula dengan memberi fokus kepada penumpang perniagaan premium.

Cadangan SSSB itu telah dibantah oleh MAHB dan Malaysian Aviation Group Berhad (MAGB) iaitu syarikat yang memiliki Firefly. Kata Pak Jamal lagi kepada saya pagi itu, “Desmond nak bangunkan Pavilion 2.0 di Subang”.

MAHB mahu kerajaan menolak cadangan SSSB itu, sebaliknya membenarkannya meneruskan rancangan membangunkan semula lapangan terbang itu di bawah Pelan Pembangunan Semula Lapangan Terbang Subang (Subang Airport Regeneration Plan, SARP) yang dijangka siap pada akhir 2025.

Pada 20 April 2021 lalu, portal berita The Malaysian Reserve melaporkan bahawa di bawah SARP itu MAHB akan melabur RM1.3 bilion untuk menjadikan lapangan terbang tersebut satu hab penerbangan di rantau Asia-Pasifik ini.

Sebahagian daripada pelaburan itu (RM300 juta) akan digunakan untuk membina infrastruktur dan kemudahan bersama, manakala selebihnya (RM1 billion) akan digunakan untuk membangunkan kemudahan lain seperti hangar, kilang, premis serta bengkel penyenggaraan, pembaikan dan operasi (maintenance, repair and operation, MRO).

Bagi Pak Jamal, yang sering turun ke Subang setiap kali beliau ada urusan kerja atau keluarga di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, MAHB memang ada kemampuan melaksanakan SARP itu dengan sempurna, memandangkan latar belakang syarikat awam berkenaan yang cemerlang.

MAHB kini merupakan salah satu kumpulan pengoperasi lapangan terbang terbesar di dunia (dari sudut jumlah penumpang yang dikendalikannya), iaitu mengurus 39 lapangan terbang di Malaysia (termasuk lima lapangan terbang antarabangsa) dan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Turki.

Mengikut jurucakap KLIA Aeropolis Sdn Bhd, Ranhill Singh, kemudahan MRO yang lebih baik di Lapangan Terbang Subang boleh dimanfaatkan oleh pengendali khidmat helikopter, pesawat udara ringan dan jet perniagaan di situ. Memandangkan kawasan itu kini sesak, kerja penambahbaikan perlu segera dijalankan.

Lapangan terbang ini pada mulanya dirancang untuk menampung tidak lebih daripada 1.5 juta penumpang setahun, tetapi kini jumlah penumpang telah meningkat hingga tiga juta (sebelum pandemik Covid-19 melanda negara).

Melalui pelan pembangunan semula SARP itu, dijangka lapangan berkenaan boleh menampung jumlah lima juta penumpang setahun, tambah Ranhill lagi.

Jumlah warga kerja di lapangan terbang itu, yang kini hanya 4,000 orang, juga dijangka meningkat sehingga 14,000 staf pada tahun 2026.

Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berharap Putrajaya tidak akan terburu-buru menerima cadangan tauke Pavilion itu dan ‘mengorbankan’ satu aset strategik negara.

Lapangan Terbang Subang adalah satu hab pengangkutan udara yang bersejarah dan dekat di hati setiap rakyat di negara ini, tambahnya lagi.

Menurut seorang pakar pengangkutan di negara ini, Goh Bok Yen, dipetik oleh portal berita Free Malaysia Today sebagai berkata ‘Leave Subang airport alone’ (Jangan sentuh Lapangan Terbang Subang), memandangkan lokasinya yang strategik dan telah mampu berfungsi dengan baik di Lembah Klang.

Mengubah aset serta hab pengangkutan negara ini menjadi satu projek penswastaan adalah amat tidak wajar sekali, tegasnya.

Kita sepatutnya memikirkan apa lagi yang boleh kita lakukan supaya Lapangan Terbang Subang boleh memberi sumbangan yang lebih besar kepada industri penerbangan dan pembangunan negara pada masa depan, bukan memikirkan soal remeh menjadikannya sebagai satu pusat komersial (pasar raya) gergasi.

Pada pagi raya (Khamis lalu), terlintas di kepala saya “Adakah ada NGO yang mahu lancarkan satu petisyen ‘Jom tolak cadangan tauke Pavilion?’

Kita perlu simpan baik-baik aset negara. Dah tak banyak lagi yang tinggal.

*Datuk Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia