Lelaki pukul, ludah anggota Rela ditahan

Tangkap layar video tular mengenai kejadian pukul dan ludah anggota Rela di Pasar Awam Looking Good, Sitiawan pada Sabtu lepas.
Tangkap layar video tular mengenai kejadian pukul dan ludah anggota Rela di Pasar Awam Looking Good, Sitiawan pada Sabtu lepas.
A
A
A

MANJUNG - Seorang lelaki direman empat hari bermula Isnin bagi membantu siasatan kes pukul dan meludah seorang anggota Rela di Pasar Awam Looking Good, Sitiawan di sini pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, dalam kejadian jam 6.40 pagi itu, lelaki berusia 52 tahun terbabit dikatakan tidak menghiraukan arahan petugas yang menahannya dari memasuki kawasan pasar kerana belum dibuka.

"Suspek bertindak terus masuk ke pasar menyebabkan berlaku pergelutan dengan seorang anggota keselamatan berusia 45 tahun yang bertugas menjaga laluan pintu masuk di situ.

"Suspek yang tidak berpuas hati telah memukul anggota berkenaan menggunakan tangan sambil mengeluarkan kata-kata kasar dan meludah muka mangsa," katanya.

Menurutnya, anggota terbabit telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu, keesokan hari.

"Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung berjaya menahan suspek pada jam 8.50 malam.

"Semakan rekod lampau mendapati, suspek mempunyai dua rekod kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah," katanya.

Beliau berkata, Mahkamah Majistret Seri Manjung membenarkan tempoh reman selama empat hari sehingga Khamis ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Kejadian itu telah dirakam orang awam yang kemudiannya tular di media sosial.

Video berdurasi 34 saat itu memaparkan seorang lelaki memakai topi keledar dalam keadaan marah menghalang tugas dua anggota Rela yang ditempatkan di pintu masuk pasar berkenaan.