X

Kindly register in order to view this article
!

Pendaftaran nombor cukai pendapatan dalam talian bermula 18 Mei ini

A
A

SHAH ALAM - Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) memaklumkan pendaftaran nombor cukai pendapatan bagi pembayar cukai boleh dilakukan secara dalam talian mengikut kategori mulai 18 Mei ini.

Menurut kenyataannya, antara kategori tersebut adalah Koperasi (CS), Pertubuhan (F), Badan Amanah (TA), Unit Amanah atau Amanah Harta Tanah (TC), Amanah Perniagaan (TN) dan Amanah Pelaburan Harta Tanah / Tabung Amanah Harta (TR).

Menurut LHDNM, pendaftaran boleh dibuat melalui perkhidmatan e-Daftar yang boleh dicapai menerusi pautan https://edaftar.hasil.gov.my/.

“Sebagai rekod, perkhidmatan eDaftar pada ketika ini hanya terhad kepada pendaftaran pembayar cukai Individu (SG dan OG), Syarikat (C), Perkongsian (D), Majikan (E) dan Perkongsian Liabiliti Terhad (PT),” kata kenyataan tersebut pada Ahad.

Selain itu, LHDNM akan melaksanakan penetapan prefix baharu bagi pembayar cukai individu iaitu daripada prefix SG dan OG kepada prefix IG bermula 18 Mei ini.

Jelasnya, proses penetapan prefix ini melibatkan dua fasa iaitu akan dilaksanakan terhadap pembayar cukai individu yang baharu didaftarkan melalui sistem LHDNM pada fasa pertama.

Tambah LHDNM, fasa kedua pula akan melibatkan pertukaran prefix bagi pembayar cukai individu yang sedia ada secara berperingkat.

“Pertukaran prefix ini tidak akan melibatkan sebarang perubahan terhadap nombor cukai pendapatan individu yang sedia ada dan tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata bagi individu juga adalah kekal,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pertambahan kategori pembayar cukai yang boleh didaftarkan melalui perkhidmatan eDaftar.

Jelasnya, ia merupakan salah satu inisiatif di bawah Transformasi Hasil (TH) sebagai usaha berterusan LHDNM untuk meningkatkan mutu perkhidmatannya kepada pembayar cukai.

“Manakala penetapan dan pertukaran prefix SG dan OG kepada IG bagi pembayar cukai individu pula dapat memudahkan pengurusan pembayar cukai dan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pembayar cukai individu,” katanya.

Menurut LHDNM, sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan boleh dimajukan melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (Luar Negara), HASiL Live Chat; dan borang maklum balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!