X

Kindly register in order to view this article
!

PPPM wujudkan sistem pembelajaran fleksibel: Muhyiddin

Muhyiddin Yassin
A
A

SHAH ALAM - Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 berhasrat untuk mewujudkan sistem pembelajaran yang bersifat dinamik dan berkesan selain relevan dan fleksibel pada setiap masa serta tempat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, guru perlu menyediakan corak pemikiran (mindset) bahawa alam sejagat ini merupakan kelas pembelajaran sepanjang hayat bagi pelajar.

Menurutnya, guru perlu berusaha untuk melahirkan pelajar yang beradab, cemerlang dan mempunyai sifat ingin tahu.

“Anak-anak yang ingin kita lahirkan haruslah mampu berdepan bukan sahaja dengan keperluan pasaran kerja semasa, tetapi bersedia menjadi anggota masyarakat yang berakhlak mulia dan bertamadun serta mampu berdaya saing pada peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan khas sempena Hari Guru 2021 bertemakan ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’ yang disiarkan di stesen televisyen pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi mencapai hasrat tersebut, kerajaan akan memastikan bahawa semua pelajar mendapat pendidikan sewajarnya termasuklah pelajar orang asli dan pribumi, Murid Berkeperluan Khas (MBK) dan kanak-kanak tanpa dokumen.

Jelasnya, kerajaan juga akan memberikan tumpuan untuk mengurangkan kadar keciciran pelajar dan memastikan golongan ini turut menerima pendidikan seperti pelajar yang lain.

Tambah Muhyiddin, kerajaan amat menghargai usaha dan pengorbanan guru dalam bidang pendidikan.

Katanya, komitmen jitu yang dilakukan oleh guru telah dapat memperkembangkan potensi pelajar dan mengetengahkan bakat dan kebolehan diri sendiri.

“Di kesempatan ini, saya ingin menzahirkan penghargaan saya kepada guru-guru yang telah mencapai kejayaan cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Walaupun guru berhadapan dengan cabaran apabila Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan, saya melihat ramai guru berjaya menghasilkan pelbagai bentuk bahan bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam proses pembelajaran.

“Saya ucapkan syabas atas ikhtiar dan inovasi saudara dan saudari sekalian. Ini merupakan suatu proses yang mempunyai ruang penambahbaikan yang luas.

“Saya berharap agar pihak Kementerian Pendidikan akan terus mendengar cadangan dan input daripada setiap lapisan warga pendidik, ibu bapa dan anak-anak sendiri demi menambah baik pendekatan PdPR dari masa ke masa,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!