Ketua Pengarang Malay Mail, Wong Sai Wan meninggal dunia

Wong Sai Wan
Wong Sai Wan
A
A
A

SUBANG JAYA - Ketua Pengarang The Malay Mail, Datuk Wong Sai Wan, 59, meninggal dunia pada jam 5 pagi Jumaat ketika sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya di sini.

Difahamkan, beliau telah dibawa oleh ahli keluarga ke pusat perubatan tersebut selepas mengadu tidak berasa selesa dan sihat.

Sai Wan diketahui mempunyai sejarah sakit jantung. Kali terakhir beliau diserang sakit jantung ialah pada November tahun lalu.

Beliau adalah seorang wartawan veteran yang memulakan kerjaya kewartawanannya di akhbar The Star pada awal tahun 1980-an.

Beliau pernah menjadi koresponden The Star di Hong Kong dan kemudian menyandang jawatan pengarang eksekutif sebelum dilantik sebagai ketua pengarang Malay Mail.

Pemergiannya amat dirasai oleh para pengamal media dan mereka yang pernah mengenalinya khusus para pemimpin politik.

Berasal dari Negeri Sembilan, Sai Wan akan dikenang sebagai seorang yang petah bertutur dalam loghat negeri.

Pengerusi dan Penerbit Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub menyifatkan pemergian Sai Wan sebagai satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Hari ini saya berasa sedih apabila kehilangan seorang kawan lama dan teman teh tarik. Ia adalah satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan Malaysia. Mendiang adalah seorang wartawan veteran yang sentiasa ceria dan penuh dengan pengalaman," ujar beliau.

Sementara itu, memetik laporan Astro Awani, Hussamuddin turut menyifatkan Wong sebagai seorang pejuang kebebasan media.

Katanya, mendiang sentiasa melaporkan perkara yang benar tanpa rasa takut atau menyebelahi mana-mana pihak.

"Kami sama-sama pejuang kebebasan akhbar. Sekali perkara itu benar, kita akan laporkan without fear and favour.

"Beliau menulis tanpa fear (takut) dan favour (pilih kasih). Itulah etika kewartawanan yang seharusnya ada pada semua wartawan media cetak, elektronik, yang mungkin kurang pada masa ini," katanya.

Mendiang yang merupakan kenalan lama Hussamuddin turut disifatkan sebagai seorang yang tidak lokek ilmu untuk dikongsi dengan generasi muda.

Dengan pengalaman berpuluh tahun di akhbar The Star dan Malay Mail, banyak ilmu yang dikongsikan mendiang untuk melatih generasi baharu dalam bidang ini.

"Selama bertugas di The Star dan Malay Mail, beliau tidak kedekut ilmu melalui forum, kursus, untuk berkongsi pengalaman sebagai wartawan.

"Beliau melatih ramai wartawan muda sepanjang hayatnya tanpa bersifat rasis dan pilih bulu," kata Hussamuddin.

Tambahnya, generasi muda seharunya mengikuti jejak langkah mendiang yang disifatkan seorang yang serba boleh.

Ini kerana, mendiang mampu bertutur dan menulis dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia dengan baik ketika melaporkan isu-isu semasa.