X

Kindly register in order to view this article
!

Remaja ditemukan mati selepas sertai parti persendirian

Mayat remaja perempuan yang ditemukan di tepi jalan berdekatan kebun getah di mukim Lesong, Pokok Sena pada Selasa.
A
A

POKOK SENA - Seorang remaja perempuan ditemukan mati dipercayai dibunuh dalam kawasan kebun getah, Pokok Pauh Dalam, Mukim Lesong, dekat sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mayat remaja berusia 17 tahun itu ditemukan selepas polis menerima panggilan pada malam hari kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat.

"Pengecaman mayat dilakukan ibu mangsa semalam di HSB berdasarkan bentuk tubuh badan, rupa serta rambut mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ahmad Shukri berkata, mangsa disahkan sebagai Ooi Phei Xuan dan berasal dari Pekan Air Hitam, Jitra.

"Terdapat kesan kecederaan pada mangsa iaitu lubang di bahagian paha hadapan kanan mangsa berukuran 1.5 sentimeter.

"Bedah siasat akan dilakukan di HSB esok pagi," katanya.

Menurutnya, susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar telah menahan lapan individu berusia antara 13 hingga 33 tahun, yang disyaki terbabit dalam kes itu.

"Tangkapan membabitkan lima lelaki dan tiga wanita pada petang Rabu.

Hasil soal siasat mendapati, kesemua suspek mengaku berada bersama mangsa dalam parti persendirian pada malam Ahad hingga pagi Isnin," katanya.

Menurutnya, susulan itu seorang lagi lelaki berusia 27 tahun ditahan di Taman Derga Jaya, pada 11.15 malam untuk membantu siasatan.

"Hasil siasatan mendapati, suspek juga mengaku terbabit dalam acara parti persendirian yang dihadiri mangsa.

Ujian saringan awal air kencing mendapati, hanya seorang daripada sembilan yang ditahan positif dadah jenis ketamin manakala yang lain negatif," katanya.

Menurutnya, berikutan itu, Mahkamah Majistret Alor Setar membenarkan kesemua suspek ditahan reman enam hari sehingga 18 Mei untuk membantu siasatan.

"Siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!