Baju kurung, baju Melayu paling ‘hot’

Baju Melayu dan baju kurung menjadi pilihan utama orang ramai melakukan pembelian online sempena Aidilfitri
Baju Melayu dan baju kurung menjadi pilihan utama orang ramai melakukan pembelian online sempena Aidilfitri
A
A
A

SHAH ALAM - Trend membeli-belah secara dalam talian bagi mendapatkan barangan keperluan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri terus popular dalam kalangan rakyat Malaysia pada tahun ini.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, trend membeli-belah keperluan raya secara online turut mendapat sambutan hangat pada tahun lalu walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ketika bulan Ramadan 2020.

“Ketika itu, rakyat tidak dapat mencari pakaian baharu untuk sambutan Hari Raya Aidilitri di pusat beli-belah dan butik disebabkan perniagaan tidak dibenarkan beroperasi,” kata Ho kepada Sinar Harian.

Tambahnya, pada tahun lalu selain permintaan tinggi untuk pakaian raya, barangan rumah seperti kertas hias dinding juga laris disebabkan ramai yang mahu menceriakan mood raya di rumah masing-masing berikutan larangan rentas negeri yang tidak membolehkan mereka pulang ke kampung halaman.

Untuk tahun ini, katanya, pemerhatian Shopee sekitar bulan April lalu mendapati rakyat Malaysia masih terus memilih untuk membeli keperluan raya secara dalam talian.

Ian Ho
Ian Ho

“Menerusi kempen Raya Bersama Shopee misalnya, pengguna dapat membuat perbandingan harga dan mencari rekaan baharu untuk baju kurung, baju Melayu dan juga kasut.

“Kami turut mendapati berbanding tahun lalu, permintaan semakin meningkat di Shopee untuk barangan seperti beg tangan, aksesori dan juga kasut.

Artikel Berkaitan:

“Malah terdapat juga banyak pembelian melibatkan barangan berkaitan perkahwinan seperti bekas kristal, set pisau, bekas telur kerawang dan juga bungkusan kotak untuk tujuan majlis perkahwinan dan pertunangan yang dibenarkan tetapi dengan SOP yang ketat,” katanya lagi.

Selain itu, sebelum pengumuman PKP 3.0 Shopee turut mendapati, ramai rakyat Malaysia membuat pembelian jam tangan pintar bagi membantu menguruskan kesihatan dan aktiviti harian.

Produk kebersihan pula terus mendapat permintaan tinggi dalam kalangan rakyat bagi terus memastikan jangkitan Covid-19 dapat dibendung.

Dalam pada itu, Ho berkata, walaupun terpaksa berdepan PKP 3.0 ia tidak akan menghalang Shopee daripada memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia yang setia membeli secara online.