X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Penggunaan katil ICU di Pulau Pinang capai 100 peratus

Penggunaan katil Covid-19 di wad ICU Pulau Pinang telah mencapai 100 peratus.
A
A

GEORGETOWN - Penggunaan katil Covid-19 di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pulau Pinang telah mencapai 100 peratus manakala bagi bukan ICU telah melebihi 70 peratus.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, secara dasarnya, kes Covid-19 di seluruh negara termasuk Pulau Pinang mencatatkan peningkatan dengan 1,682 kes iaitu bagi minggu ke-18 (2 hingga 8 Mei).

Sehubungan itu, Kon Yeow meminta mereka yang bergejala supaya mendapatkan rawatan atau menjalankan saringan dengan segera.

"Jangan berlengah kerana terdapat beberapa kes yang lewat mendapatkan rawatan awal berakhir dengan keadaan teruk seperti sesak nafas dan seterusnya membabitkan kematian.

"Laporan kes semakin meningkat dan kadar penggunaan fasiliti perubatan negeri secara keseluruhannya telah melebihi 70 peratus bagi katil bukan ICU.

"Sementara itu, penggunaan katil Covid-19 bagi ICU di Pulau Pinang telah mencapai 100 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, beberapa kluster dilaporkan berpunca daripada penularan di tempat kerja, institusi pendidikan, aktiviti sosial dan ekonomi.

"Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memaklumkan bahawa jumlah kes aktif di negeri ini telah mencecah lebih daripada 1,000 kes yang mana ia memerlukan pemantauan serta pengurusan aktif daripada pihak hospital dan pejabat kesihatan daerah.

"Keadaan ini membimbangkan dan kita tidak mahu situasi seperti di India berlaku di negara kita. Susulan itu, JKNPP akan meneruskan aktiviti penyiasatan, pengesanan kes dan kontak serta ujian saringan di semua fasiliti terlibat," katanya.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan terus menyalurkan sokongan penuh dalam membantu menyelaras pengurusan pandemik bersama-sama semua agensi lain yang berkaitan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!