Empat premis di Pulau Pinang disenarai HIDE dibuka semula esok

Pasar raya dan pusat membeli-belah yang ditutup selepas disenaraikan di bawah HIDE boleh dibuka semula pada 11 Mei. Gambar kecil: Chow Kon Yeow
Pasar raya dan pusat membeli-belah yang ditutup selepas disenaraikan di bawah HIDE boleh dibuka semula pada 11 Mei. Gambar kecil: Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Empat pusat membeli-belah dan pasar raya yang diarahkan tutup selepas tersenarai dalam sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) sebelum ini boleh dibuka semula dengan syarat proses sanitasi telah dilaksanakan sepenuhnya.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada petang Isnin.

Menurutnya, menerusi keputusan itu, kerajaan menekankan bahawa HIDE merupakan sistem amaran awal dan bukannya membabitkan kejadian kluster di lokasi-lokasi berkenaan.

"Apabila sistem HIDE yang dibangunkan oleh Bank Negara tersebut menyenaraikan lokasi-lokasi berkaitan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat penilaian risiko sebelum ia diarahkan tutup.

"Oleh demikian, keempat-empat premis membeli-belah dan pasar raya yang ditutup sejak Ahad akan dibuka semula esok (11 Mei).

"Ia adalah atas persetujuan hasil perbincangan saya bersama-sama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang selepas mesyuarat sebentar tadi," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Di Pulau Pinang, pusat membeli-belah yang ditutup sejak Ahad adalah Queensbay Mall, Gurney Paragon Mall, Lotus's Penang dan Aeon Queensbay.

Dua hari lalu, kerajaan mengeluarkan senarai HIDE pertama premis perniagaan yang dikenal pasti sebagai titik panas Covid-19 yang berpotensi mendatangkan risiko penularan wabak tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covif-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penerbitan senarai itu akan menjadi panduan bagi pemilik dan pengendali untuk mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi dan mencegah premis mereka daripada menjadi sumber wabak Covid-19.

Sebilangan besar premis yang ditandai sebagai titik panas Covid-19 oleh HIDE terletak di Selangor diikuti oleh Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Putrajaya, Perak, Kelantan serta masing-masing di Melaka dan Negeri Sembilan.