Penguatkuasaan Akta 446 masih dilaksanakan

Saravanan
Saravanan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (KSM) menafikan laporan portal yang mendakwa kementerian itu menggantung penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 (Akta 446).

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, penguatkuasaan akta itu masih berterusan dan KSM sentiasa melaksanakan penguatkuasaan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang merangkumi sektor-sektor ditetapkan.

“Terdapat laporan portal dalam talian bahawa KSM menggantung penguatkuasaan terhadap majikan dari segi penguatkuasaan Akta 446, yang mana ini tidak benar.

“Ada juga portal melaporkan bahawa kluster bertambah kerana KSM telah menggantung penguatkuasaan. Ini satu perkara yang tidak betul dan mengelirukan rakyat,” katanya dalam sidang media pada Isnin.

Saravanan berkata, Akta 446 berkuat kuasa pada Jun 2020 dan majikan serta penyedia penginapan berpusat diberikan tempoh bertenang selama tiga bulan dari Jun 2020 hingga Ogos 2020, sebelum penguatkuasaan sepenuhnya akta itu pada September 2020.

Namun ekoran tercetusnya kluster Teratai awal tahun ini, beliau berkata, kerajaan berpandangan bahawa Akta 446 boleh menjadi antara medium bagi memutuskan rantaian Covid-19, membawa kepada pewartaan Akta 446 sebagai satu daripada komponen akta yang dipinda di bawah Ordinan Darurat.

“Sehubungan itu, pada 25 Februari lalu, Akta 446 diwartakan sebagai sebahagian daripada Ordinan Darurat dan penguatkuasaan akta ini turut diperluaskan ke Sabah dan Sarawak. Susulan itu, KSM terus merancakkan operasi penguatkuasaan tanpa henti hingga kini,” katanya.

Akta 446 dilaksanakan bagi menangani isu pengurusan tempat tinggal pekerja menerusi tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas.

Artikel Berkaitan:

Saravanan berkata, beliau turut meminta pegawai undang-undang kementerian dan peguam peribadinya untuk mengkaji laporan berita itu dan tindakan selanjutnya akan diambil jika terdapat unsur maklumat palsu.

Sementara itu, beliau berkata, penguatkuasaan dan pemeriksaan yang dijalankan hingga 8 Mei merekodkan 17,882 majikan diperiksa dengan 6,069 daripadanya patuh kepada Akta 446 manakala 11,813 majikan didapati melakukan kesalahan di bawah akta itu.

Susulan penguatkuasaan oleh Pasukan Kerja Pematuhan Penginapan Pekerja Akta 446 terhadap 11,813 majikan itu, Saravanan berkata, sebanyak 706 kertas siasatan dibuka yang membawa kepada 121 izin dakwa dikeluarkan dan 39 daripadanya telah selesai dengan denda RM301,000.

Selain itu, 216 izin kompaun dikeluarkan dengan tawaran kompaun sebanyak RM1.35 juta selain 46 Arahan Pindah yang melibatkan 46 majikan dengan 1,962 pekerja.

Dalam pada itu, Saravanan berkata, aplikasi ‘Working for Workers (WFW)’ yang dilancarkan pada 3 Mei lalu telah merekodkan 59 aduan hingga kini, dan antara isu yang dibangkitkan ialah pemberhentian kerja tanpa notis, isu gaji, cuti rehat dan ketiadaan kontrak kerja. - Bernama