'Naluri kami kuat mengatakan mayat terbakar itu ibu'

Wan Malianal Akmal berkata, beliau tidak menyangka kematian ibunya berlaku secara tragis, namun tetap reda dan berharap individu yang melakukan perbuatan kejam itu mendapat hukuman setimpal.
Wan Malianal Akmal berkata, beliau tidak menyangka kematian ibunya berlaku secara tragis, namun tetap reda dan berharap individu yang melakukan perbuatan kejam itu mendapat hukuman setimpal.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Naluri Wan Mahisyamri W Abd Manan sebagai anak sulung, kuat mengatakan mayat dengan kesan terbakar seluruh badan yang ditemukan di tepi Jalan Kuala Terengganu-Kelantan di Kampung Padang Air dekat Tepoh, di sini 17 April lepas adalah ibunya, Che Janiah Jaafar.

Wan Malianal Akmal W Abd Manan, 36, berkata, perkara tersebut diluahkan abang sulungnya yang berumur 39 tahun itu kepada ahli keluarga apabila mengetahui tentang penemuan mayat tersebut.

“Ini kerana tempoh penemuan mayat itu hampir sama dengan tempoh masa kehilangan ibu. Telahan abang saya itu lebih kuat apabila pihak polis menghubungi kami sekeluarga untuk melakukan pengecaman mayat berikutan laporan polis yang kami buat setelah 24 jam ibu tidak pulang ke rumah selepas keluar berjumpa dengan kawannya kira-kira jam 10 malam pada 16 April lepas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada Isnin.

Pengecaman mayat tersebut, katanya dilakukan adik tirinya, Siti Nor Nabila Azmi, 24, pada 19 April dan hasil keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dikeluarkan Jumaat lepas mengesahkan mayat itu adalah Che Janiah yang berusia 55 tahun.

Wan Malianal Akmal berkata, beliau tidak menyangka kematian ibunya berlaku secara tragis, namun tetap reda dan berharap individu yang melakukan perbuatan kejam itu mendapat hukuman setimpal.

Katanya, sebelum kejadian, arwah ibunya sering memuat naik hantaran berkaitan kematian di laman sosial Facebooknya dan tidak menyangka itu antara petanda pemergian arwah.

Jenazah wanita itu dikebumikan selepas solat Zohor hari ini di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Bading, di Hulu Terengganu.

Pada pagi 17 April lepas, satu mayat tanpa identiti dengan kesan terbakar keseluruhan badan ditemukan di tepi Jalan Kuala Terengganu-Kelantan di Kampung Padang Air dekat Tepoh oleh pekerja kebersihan.

Artikel Berkaitan:

Mangsa dikatakan telah dibunuh di tempat lain sebelum dibawa ke lokasi penemuan dan dibakar. - Bernama