X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia kecam pencerobohan, serangan ke atas Masjid Al-Aqsa

(Gambar hiasan) Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan dan serangan tentera penjajah Israel serta pendatang haram yahudi ke atas rakyat Palestin dan jemaah yang beribadah di Masjid Al-Aqsa. Gambar kecil: Hishammuddin
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan dan serangan tentera penjajah Israel serta pendatang haram yahudi ke atas rakyat Palestin dan para jemaah yang beribadah di Masjid Al-Aqsa, pada Jumaat.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perbuatan zalim itu bukan sahaja perlu dikecam sekeras-kerasnya malah Kerajaan Israel mesti dipertanggungjawabkan ke atas pelanggaran hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa.

“Ramai rakyat Palestin yang tercedera dalam serangan itu. Pencerobohan di Masjid Al-Aqsa yang disasarkan terhadap para jemaah yang sedang menunaikan solat di hari-hari terakhir Ramadan merupakan satu bentuk penghinaan terhadap umat Islam dan nilai kemanusiaan.

“Malaysia turut mengecam sekeras-kerasnya pengusiran secara paksa rakyat Palestin daripada kediaman mereka termasuk yang berada di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitul Maqdis. Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera dan tegas menentang kezaliman terbaru Israel ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar pada Sabtu.

Menurut beliau lagi, Malaysia sentiasa memberikan sokongan padu kepada rakyat Palestin dan perjuangan mereka dalam mencapai kebebasan mutlak daripada penjajahan haram Israel, ke arah pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis (East Jerusalem) sebagai ibukota Palestin. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!