Bayi hidap jantung berlubang perlu bantuan RM10,000

Shahrizan (dua kiri), Azah Fazazillah dan anak mereka, Qish Naura Syifa yang menghidap penyakit jantung berlubang dan saluran kemaluan serta najis yang bercantum menerima bantuan daripada Mohd Fadel dan Pengurus Econsave Cawangan Kluang, V Kasturi Bai di Sri Lalang Kluang, pada Sabtu.
Shahrizan (dua kiri), Azah Fazazillah dan anak mereka, Qish Naura Syifa yang menghidap penyakit jantung berlubang dan saluran kemaluan serta najis yang bercantum menerima bantuan daripada Mohd Fadel dan Pengurus Econsave Cawangan Kluang, V Kasturi Bai di Sri Lalang Kluang, pada Sabtu.
A
A
A

KLUANG - Pasangan suami isteri di Sri Lalang di sini mengharapkan bantuan orang ramai bagi mengumpul RM10,000 untuk menampung kos pembedahan jantung anak bongsu mereka yang berusia tiga bulan.

Bayi perempuan pasangan itu, Qish Naura Syifa, turut disahkan menghidapi masalah saluran najis dan kemaluan bercantum.

Shahrizan Yusof, 37, berkata, dia yang sebelum ini bekerja sebagai jurujual roti dibuang kerja dalam tempoh 24 jam kerana kerap mengambil cuti bagi menguruskan anaknya itu berulang alik ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.

“Saya terpaksa berkorban kerana ketika awal kelahiran Syifa, doktor di HSA mengesahkan terdapat lubang sebesar lima sen di jantungnya dan pemeriksaan lanjut di Institut Jantung Negara (IJN) mendapati terdapat tiga lubang di kawasan itu.

“Alhamdulillah pihak IJN sudah memberi kelulusan dana sebanyak RM25,000 sebagai subsidi untuk kos operasi pembedahan nanti.

“Jumlah kos pembedahan sahaja RM35,000 dan kami perlu mencari RM10,000 lagi tidak termasuk kos lain iaitu lampin pakai buang dan tisu basah yang kerap digunakan,” katanya ketika ditemui di kediaman ibunya di sini pada Sabtu.

Shahrizan dan isterinya, Azah Fazazillah Md Jaikhs, 32, menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan daripada Pengerusi Tindakan Ekonomi Komuniti B40 Johor, Datuk Mohd Fadel Alwi dan Pengurus Econsave Kluang Kasturi.

Katanya, disebabkan anaknya ada masalah saluran najis sempit, dia kerap membuang air besar namun dalam kuantiti kecil yang memerlukan lampin sentiasa ditukar bagi mengelakkan ketidakselesaan

Artikel Berkaitan:

"Syifa akan menangis jika tidak selesa dan menjadikannya sesak nafas. Jadi kami akan sentiasa berjaga-jaga setiap waktu,” katanya.

Katanya, mujur ketika ini mereka mempunyai wang simpanan daripada skim I-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menampung keperluan hidup.

“Selagi boleh berjimat kami akan berjimat dan ketika ini kami buntu tidak dapat bekerja kerana menguruskan Syifa.

“Apa yang boleh kami lakukan ialah mengusahakan jualan popia basah yang hanya boleh dilakukan sekali sekala,” katanya.

Mereka yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Shahrizan di talian 0107185041 atau akaun RHB di atas namanya di 10104400529982.