X

Kindly register in order to view this article
!

PUNB tawar skim pembiayaan baharu untuk individu diberhentikan kerja

Noh Omar
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) memperkenalkan Skim Pembiayaan Usahawan Terkesan Covid-19 (SPUR) bagi membantu individu bumiputera yang kehilangan pekerjaan berikutan penularan pandemik Covid-19.

Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar berkata, skim berkenaan menawarkan pembiayaan antara RM50,000 hingga RM100,000 kepada semua individu berusia 18 tahun hingga 55 tahun.

Tambah beliau, skim itu juga terbuka kepada mereka yang berhasrat untuk memulakan perniagaan ataupun telah mempunyai perniagaan yang berdaftar selepas Mac 2020.

“Kadar keuntungan yang dikenakan kepada usahawan hanya 3.5 peratus setahun berdasarkan kadar baki bulanan dan tempoh pembayaran maksimum sehingga lima tahun enam bulan.

“Penerima inisiatif ini diberikan penangguhan pembayaran selama enam bulan secara automatik dari tarikh pengeluaran dana.

“Selain itu, pembiayaan SPUR ini juga boleh digunakan untuk modal kerja dan pembelian peralatan serta mesin bagi operasi perniagaan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Noh Omar berkata, individu yang menerima pembiayaan tersebut turut berpeluang mengikuti kursus dan latihan bagi meningkatkan kemahiran, selain pengetahuan keusahawanan dalam bidang pengurusan kewangan, pemasaran dan tadbir urus korporat serta pengurusan am.

“Mereka juga berpeluang untuk menyewa premis perniagaan milik PUNB dengan kadar sewa yang kompetetif. Menariknya, Ibra’ (rebat) sehingga 50 peratus daripada jumlah pembiayaan akan diberikan kepada pembayar pembiayaan yang baik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya komited untuk menyediakan peluang kepada usahawan bumiputera mencapai kejayaan dalam perniagaan.

“Inisiatif SPUR ini bukan saja untuk menyediakan kemudahan dari aspek kewangan dan pembangunan keusahawanan tetapi ingin memastikan usahawan dan perniagaan bumiputera kekal berdaya saing serta berdaya tahan,” katanya.

Permohonan SPUR boleh dibuat secara dalam talian mulai Jumaat. Keputusan permohonan akan dimaklumkan kepada pemohon yang berjaya dalam jangka masa 20 hari waktu bekerja selepas pembentangan racangan perniagaan dinilai oleh juri penilai.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman rasmi PUNB, www.punb.com.my atau hubungi talian 1300 13 7862 atau e-mel kepada [email protected]


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!