X

Kindly register in order to view this article
!

Nasib Terbuka Malaysia diketahui dalam tempoh 48 jam: Norza

Mohamad Norza Zakaria
A
A

NASIB kejohanan badminton Terbuka Malaysia yang dijadual berlangsung pada 25-30 Mei di Axiata Arena, Bukit Jalil akan diketahui dalam tempoh 48 jam, kata Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Beliau berkata BAM sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhubung sama ada untuk meneruskan kejohanan itu berikutan peningkatan kes COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kami masih berbincang, saya tahu perkara menjadi semakin rumit ketika ini kerana banyak perkara berlaku di luar kuasa kita, bukan sahaja isu peningkatan kes COVID-19 di sini tapi juga dihadapi oleh negara luar.

"Saya rasa kita akan mendapat petunjuk dalam masa 24 hingga 48 jam tetapi apapun begitu, kami akan terus memastikan keselamatan dan kesejahteraan pemain diutamakan,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan antara BAM dan BP Healthcare Group di sini pada Khamis.

Mohamad Norza berkata sebarang keputusan yang dibuat oleh BAM adalah berdasarkan kepada BWF kerana badan itu mempunyai peranan penting berkaitan kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo.

Terbuka Malaysia adalah kejohanan kedua terakhir sebelum Terbuka Singapura pada bulan depan, yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKP dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 7 hingga 20 Mei.

Mengenai kejayaan ratu terjun negara Pandelela Rinong di Piala Dunia Terjun FINA 2021 di Jepun, Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berasa gembira dengan pencapaian atlet kelahiran Sarawak itu dan berharap Pandelela terus mengekalkan prestasinya sehingga Olimpik Tokyo, Julai ini.

Pandelela melakar sejarah tersendiri apabila muncul atlet terjun pertama negara memenangi pingat emas di Piala Dunia Terjun FINA selepas mengumpul 355.70 mata dalam acara 10m platform individu wanita di Pusat Akuatik Tokyo, pada Rabu.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata MOM akan menilai semula pemilihan atlet memanah recurve negara Khairul Anuar Mohamad sebagai seorang daripada pembawa Jalur Gemilang di Sukan Olimpik Tokyo susulan beliau dikatakan berada dalam dilema kerana acara disertainya akan berlangsung pada hari sama dengan upacara pembukaan.

"Kita akan cari pengganti jika perlu, jika tidak, kita akan kekalkan dengan seorang lagi pembawa Jalur Gemilang iaitu pemain beregu campuran negara Goh Liu Ying,” katanya.

Mengenai majlis menandatangani perjanjian tajaan hari ini, Mohamad Norza berkata sokongan daripada BP Healthcare adalah tepat pada masa memandangkan mereka kini dalam peringkat terakhir persiapan ke Olimpik Tokyo.

Tajaan selama setahun bernilai RM5 juta itu membabitkan RM4 juta dalam bentuk tunai manakala baki RM1 juta lagi adalah perkhidmatan perubatan kepada pemain dan menerusi perjanjian itu juga logo BP Healthcare dipaparkan pada jersi pemain. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!