91 spesis burung dikenal pasti

Sebahagian peserta yang menjayakan program tersebut.
Sebahagian peserta yang menjayakan program tersebut.
A
A
A

JERANTUT - Sebanyak 91 spesis burung berjaya dikenal pasti tahun ini menerusi program Ekspedisi Melihat Burung 2019 yang berlangsung di Paya Kangsar,Pulau Tawar, baru-baru ini.

Ia menyaksikan tambahan lapan spesis yang berjaya dikenal pasti berbanding 83 spesis tahun lalu.

Dalam program kali kedua itu disertai oleh penduduk setempat dan pelajar sekolah dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dengan penyertaan lebih 300 orang.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Datuk Idros Yahya berkata, program tersebut dapat menarik lebih ramai pelancong ke daerah ini pada masa akan datang.

"Tahun lalu kita adakan program ini bersama orang luar terutama Kumpulan Pemerhati Burung Taman Negara dan ilmu yang dipelajari oleh penduduk dapat dipraktikkan pada kali ini.

"Kita bekalkan teropong dan ada yang membawa kamera sendiri untuk merakam gambar burung-burung yang terdapat di kawasan paya ini," katanya lagi.

Menurutnya, Paya Kangsar merupakan lokasi unik kerana terdapat dua kategori burung iaitu spesis air dan darat berbanding di Bukit Fraser dan Taman Negara Kuala Tahan.

"Tahun lepas kita mengenal pasti 83 spesis burung di sini dan kali ini ada tambahan lapan lagi spesis termasuk burung hijrah dari luar negara," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Idros memberitahu, program tersebut akan diperkemaskan lagi untuk dijadikan acara tahunan serta persiapan menyambut ketibaan Tahun Melawat Malaysia 2020.

"Melalui program ini, penduduk bukan sahaja mendapat ilmu mengenai burung malah dapat menjana ekonomi mereka melalui kehadiran pelancong luar," jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Rang, Sharuddin Idris berkata, pihaknya akan memberi kerjasama dengan kementerian pelancongan dan agensi terlibat bagi membangunkan Paya Kangsar sebagai lokasi wajib bagi pencinta burung.