TM tunggu siasatan polis selesai

Laporan Sukan Sinar pada Rabu.
Laporan Sukan Sinar pada Rabu.
A
A
A

TAEKWANDO Malaysia (TM) akan menunggu sehingga siasatan polis selesai sebelum mengambil sebarang tindakan berhubung isu seorang jurulatih kebangsaan yang didakwa mengeluarkan kata-kata kurang menyenangkan terhadap atlet wanita.

Pengarah Teknikal TM, R Dhanaraj ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak mahu masuk campur dalam isu berkenaan kerana polis sedang menjalankan siasatan.

Menurut Dhanaraj, polis juga telah mengambil keterangan daripada semua atlet yang berada di tempat kejadian dan akan memanggil jurulatih terbabit untuk mendapatkan keterangan dalam masa terdekat.

“Jurulatih itu juga telah membuat laporan polis terhadap atlet berkenaan atas dakwaan itu,” katanya yang juga Setiausaha Agung TM.

Dhanaraj berkata, isu itu tidak sepatutnya diperbesar kerana ia adalah salah faham biasa antara atlet dan jurulatih, dan yakin pihaknya dapat menyelesaikannya secara profesional.

“Jika satu daripada pihak didapati bersalah, TM akan mengambil tindakan selanjutnya ke atas individu berkenaan. Kami juga berharap agar organisasi atau individu lain tidak membuat spekulasi dan komen yang tidak benar atas isu ini, kerana kes masih dalam siasatan,” katanya.

Menurut hantaran yang dimuat naik di media sosial oleh kakak kepada atlet wanita itu, jurulatih berkenaan bertindak memalukan adiknya di depan rakan sepasukan dalam satu perjumpaan pada waktu malam 23 April lepas dan mengugutnya akan disingkirkan daripada skuad kebangsaan.

Turut tular satu laporan polis yang dibuat oleh bapa atlet berkenaan terhadap jurulatih terbabit sehingga mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semalam, yang mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil tindakan segera.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, jurulatih itu telah digantung tugas sementara daripada mengendalikan pasukan dan diminta meninggalkan asrama atlet di Bukit Jalil bagi membolehkan siasatan dijalankan. - Bernama