Neelofa, suami hadir beri keterangan di IPD Nilai

Gambar Neelofa dan suami di Nilai 3, yang tular di media sosial sejak Ahad.
Gambar Neelofa dan suami di Nilai 3, yang tular di media sosial sejak Ahad.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Selebriti Neelofa Mohd Noor dan suaminya Haris Ismail telah pun hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai berhubung dakwaan kunjungan mereka ke premis menjual permaidani di Pusat Perniagaan di Nilai 3, di sini.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Datuk Che Zakaria Othman berkata, siasatan akan dilakukan mengikut perundangan yang ada dan tiada sebarang keistimewaan diberi.

"Saya telah dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Nilai yang pasangan ini telah dipanggil beri keterangan hari ini untuk mengetahui sama ada mereka telah mendapat kebenaran dari polis untuk merentas negeri

"Siasatan yang dilakukan polis sama sahaja dan tiada bezanya antara selebriti, orang awam atau orang kampung," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir pada Majlis Sumbangan Bubur Lambuk oleh Persatuan Bekas Pegawai Kanan Polis Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini pada Selasa

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut kerana perkara itu masih dalam siasatan polis.

Menurutnya, turut hadir memberi keterangan iaitu pemilik dan seorang pekerja kedai permaidani.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis panggil Neelofa, suami isu rentas negeri ke kedai karpet di Nilai 3

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, viral video berdurasi 15 saat dipercayai dimuat naik Neelofa di Instagram (IG) memaparkan dirinya dan suami berada di sebuah kedai dipercayai di Pusat Borong Nilai 3 di Nilai, Negeri Sembilan.

Malah, beberapa pengguna laman sosial Twitter turut mendakwa terlihat pasangan terbabit di Nilai 3 dan mempersoalkan tindakan mereka merentas negeri.

Dalam pada itu Che Zakaria, berkata, operasi penguatkuasaan bagi memastikan masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Aidilfitri ini sama seperti dilakukan tahun lalu.