Aura Conte bawa Inter tamatkan penguasaan Juventus

Inter dinobatkan sebagai juara Serie A musim ini.
Inter dinobatkan sebagai juara Serie A musim ini.
A
A
A

PENGENDALI Inter Milan, Antonio Conte menyifatkan kejayaan memenangi kejuaraan Serie A merupakan detik paling bermakna dalam kariernya sebagai jurulatih.

Menurutnya, bukan mudah untuk membawa Inter menjulang trofi Serie A dan menamatkan penguasaan Juventus yang telah menguasai saingan liga itu sejak sembilan musim berturut-turut.

"Saya meletakkan kejayaan ini antara yang terbesar dalam karier saya. Ia sukar dan bukan satu pilihan mudah ketika saya datang ke Inter dalam keadaan pasukan tidak kompetitif dan tidak memiliki kekuatan untuk meraih kejuaraan.

"Malah, saya pergi ke kelab yang menjadi rival buat Juventus. Namun, saya merespon cabaran ini dengan semangat yang besar. Saya rasa kerja keras ini membayar semua pengorbanan yang sudah saya lakukan," katanya.

Inter memastikan kejuaraan liga menjadi milik mereka selepas pasukan di kedudukan kedua liga, Atalanta hanya mampu seri 1-1 ketika menentang Sassuolo, awal pagi Isnin.

Dengan baki empat perlawanan, Atalanta yang mengumpulkan 69 mata sudah tidak mampu mengejar Inter yang kukuh di puncak liga dengan 82 mata.

Scudetto musim ini merupakan kejuaraan liga ke-19 buat Inter dan yang pertama buat pasukan itu selepas 11 tahun dengan kali terakhir mereka memenanginya pada 2010 yang lalu.

Dalam pada itu, Conte turut menghamburkan pujian kepada para pemainnya yang menunjukkan komitmen dan mampu tampil sebagai pencabar utama liga hanya dalam dua musim.

Artikel Berkaitan:

"Sejujurnya, perkara paling bagus berlaku kepada saya di Inter dalam tempoh dua tahun ini adalah mencari kumpulan pemain yang percaya kepada saya dan kepimpinan yang saya bawa. Keupayaan pemain dan perkembangan pemain di kelab ini juga membawa kepada kejayaan.

"Inter bermain dengan corak bola sepak moden, pemain tahu bagaimana untuk bermain dan membina permainan serta serangan balas. Pemain telah belajar segalanya serta mampu membaca permainan dengan baik dan itu adalah mengapa kami berjaya menang liga musim ini," katanya.