Sentuhan Mat Yo masih berbisa

Norshahrul (kanan) diasak pertahanan JDT II dalam aksi di Stadium Hang Jebat pada Sabtu. - Foto FB Johor Southern Tigers
Norshahrul (kanan) diasak pertahanan JDT II dalam aksi di Stadium Hang Jebat pada Sabtu. - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

KETUA jurulatih Sarawak United FC, E Elavarasan berpuas hati dengan kemenangan saat akhir yang dilakar pasukannya meskipun ketiadaan beberapa ayam tambatan di bahagian serangan.

“Walaupun kekurangan pada bahagian serangan, ada perubahan kombinasi tetapi pasukan dapat bermain dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas aksi perlawanan dalam keadaan hujan renyai dan padang basah di Stadium Hang Jebat pada Sabtu.

Lega berjaya mengutip tiga mata penuh, Elavarasan berkata, peluang sebenar hanya tiba pada saat-saat akhir perlawanan.

"Gol yang kita dapat pada minit-minit terakhir itu paling penting untuk kita sebab JDT II bukan satu pasukan yang biasa...permainan pun mantap dan sedaya upaya nak cari gol," katanya.

Sarawak United yang melayan kunjungan JDT II terpaksa menunggu hingga minit ke- 85 apabila Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo berjaya menjaringkan gol tunggal hasil rembatan kencang dalam kotak penalti.

"Mat Yo bertindak bijak setiap kali memiliki ruang walaupun ditekan hebat barisan pertahanan lawan. Situasi itu menyebabkan kami hanya melakukan serangan balas pantas dengan mengatur strategi sesuai untuk memerangkap lawan yang kerap menyerang.

"Hasilnya, barisan pertahanan kami bertindak cemerlang menutup ruang untuk lawan dan gol tunggal yang diperoleh pada lima minit sebelum tamat juga atas usaha yang tersusun bagi memisahkan kedudukan yang seakan terikat tanpa jaringan," ujarnya.

Sementara itu, pengendali JDT II, Rafael Fransisco Gil Shanchez memuji aksi pemainnya yang berjaya mengawal permainan walaupun ada sedikit kesilapan.

Artikel Berkaitan:

Sarawak United FC kini mengumpul 20 mata daripada sembilan perlawanan sekali gus selesa mendominasi carta Liga Premier dengan mengatasi Negeri Sembilan FC yang mengutip 18 mata.