X

Kindly register in order to view this article
!

Dua bazar Ramadan ditutup, tiga peniaga positif Covid-19

Dua bazar Ramadan di Terengganu ditutup berikutan terdapat peniaga positif Covid-19. Gambar kecil: Dr Nor Azimi
A
A

BESUT - Bazar Ramadan Bukit Kenak dan Kuala Besut di sini diarah tutup selama tujuh hari bermula Sabtu susulan terdapat tiga peniaga dari dua bazar berkenaan positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus mengesahkan penutupan bazar Ramadan itu berkuat kuasa di bawah Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mencegah penularan penyakit.

Sebelum itu, tular maklumat menerusi aplikasi WhatsApp mengenai lapan pekerja dari sebuah kafe di daerah berkenaan menjalani ujian saringan Covid-19.

Hasil ujian saringan tersebut, tiga daripada pekerja terbabit yang berniaga di dua bazar Ramadan iaitu di bazar Ramadan Bukit Kenak dan di bazar Ramadan Kuala Besut didapati positif Covid-19.

Selain tiga pekerja itu, tiga lagi individu lain yang turut disaring merupakan ahli keluarga peniaga yang juga positif Covid-19.

Berikutan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengarahkan dua bazar berkenaan ditutup bermula 1 hingga 7 Mei 2021.

Dalam perkembangan sama, Terengganu merekodkan pertambahan satu kes kematian akibat Covid-19 pada Sabtu.

Jumlah itu menjadikan terdapat 15 kes kematian akibat Covid-19 di negeri ini setakat ini, sejak pandemik itu melanda negara Mac tahun lalu.

Selain itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu merekodkan pertambahan 22 kes discaj, 42 kes baharu menjadikan terdapat 231 kes Covid-19 aktif di negeri ini dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 4,235.

Sebanyak 226 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa, manakala lima kes menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di mana tiga daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!