Lebih 200 penunggang motosikal disaman

ACP MOHAMAD NOOR YUSOF ALI
ACP MOHAMAD NOOR YUSOF ALI
A
A
A

KUANTAN - Lebih 200 saman dikeluarkan kepada 156 penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan dilakukan mereka dalam satu operasi khas yang dijalankan di Tanjung Lumpur di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, bertindak atas maklumat sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuantan telah melakukan pemeriksaan terhadap kumpulan tersebut sekitar jam 8.45 malam.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas 156 motosikal itu melibatkan 161 individu termasuk dua wanita yang berusia lingkungan 18 hingga 35 tahun.

“Pemeriksaan awal mendapati selain tidak ada lesen, kebanyakan motosikal tidak mempunyai nombor pendaftaran, menggunakan saiz yang kecil dan pelbagai warna bagi mengelak ia dibaca atau dikesan penguat kuasa.

“Sebanyak 35 motosikal turut disita kerana telah didapati melakukan pengubahsuaian terhadap kenderaan mereka. Polis juga telah keluarkan lebih 200 saman susulan, setiap daripada mereka terdapat satu kesalahan malah ada yang lakukan dua hingga tiga kesalahan,” katanya kepada pemberita di sini malam Sabtu.

Tambah beliau, seorang anggota berpangkat sarjan telah mengalami kecederaan di bahagian kaki susulan cuba menahan motosikal yang akhirnya berjaya lolos dalam operasi tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: