Negara belum pernah saksikan apa yang sedang disaksikan sekarang

No Image Caption
A
A
A

BELALANG tidak pasti nak labelkan ‘pertelagahan’ antara Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Hamid Bador dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai apa.

Ini kerana belum pernah berlaku dalam sejarah pentadbiran negara, seorang kakitangan kerajaan berpangkat tinggi ‘berperang’ secara terbuka dengan menterinya seperti ini.

Kalau ada pun sebelum ini hanya sekadar ‘perang dingin’, bukan perang secara terbuka.

Tidak pernah kita dengar misalnya, Ketua Setiausaha (KSU) berbalah atau mengkritik menteri secara terbuka.

Begitu juga kita tidak pernah mendengar Panglima Angkatan Tentera (PAT) bertelagah secara terbuka dengan Menteri Pertahanan.

Malah, sebelum ini kita juga tidak pernah dengar KPN mengkritik dan bertelagah dengan Menteri Dalam Negeri secara terbuka. Inilah yang pertama. Jadi, kita rakyat jelata yang melihatnya jadi khuatir dan sedikit resah dengan apa yang sedang berlaku sekarang.

Sudah tentu dalam media sosial macam-macam reaksi yang boleh kita baca. Ada yang setuju dan sokong apa yang dikritik dan disaran oleh KPN.Orang politik yang menyokong Hamzah pun ramai juga.

Ada juga yang berkata, insiden ini membuka lembaran baharu dalam pentadbiran awam.

Artikel Berkaitan:

Pegawai tinggi boleh menempelak pembuat dasar iaitu Pak Menteri jika dia berasakan apa yang dilakukan itu tidak betul.

Dan tidak kurang juga yang berpandangan ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia memberi contoh tidak harmoni antara pembuat dasar dan pelaksana dasar.

Ertinya, oleh kerana KPN dah set satu contoh yang sebegini, pada masa akan datang, pegawai tinggi kerajaan yang lain pun berasa wajar untuk melakukan perkara yang sama.

Ada yang bertanya, kenapa ia tidak diselesaikan secara dalaman sahaja. Tetapi ada pula yang menyatakan bahawa itulah yang dilakukan oleh KPN dalam kes perbalahannya dengan Pak Menteri.

Kata mereka, Hamid Bador sendiri mengaku beliau telah membawa rasa tidak puas hatinya tentang campur tangan menteri dalam urusan harian polis kepada Perdana Menteri, malah kepada Ketua Setiausaha Negara dan kepada menteri itu sendiri.

Kebimbangan KPN adalah campur tangan menteri bukan sahaja tidak sihat kerana menteri sepatutnya membuat dasar dan menentukan hala tuju pasu-kan tetapi beliau juga khuatir ia akan mewujudkan puak dalam pasukan. Belalang faham kebimbangan ini kerana orang bawah melihat wujudnya pilihan lain yang dibuat oleh menteri dan tidak menghormati serta memandang tinggi pilihan yang dibuat oleh kepimpinan pasukan.

Jadi, pada satu sudut pandangan, KPN ada alasan yang kukuh untuk bersikap kritikal tetapi dari segi protokol, ia kelihatan tidak manis, malah menentang arus dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Bagaimanapun, ada yang berhujah akan sentiasa ada sesuatu yang pertama dalam apa juga perkara, lebih-lebih lagi jika ia wajar disuara dan dilontarkan.

Hamid Bador sendiri sering kali berhujah, era segala yang buruk disapu ke bawah karpet perlu dihentikan demi kebaikan dan masa depan pasukan polis itu sendiri.

Apa pun, era Hamid Bador akan berakhir Isnin ini dan seluruh negara sedang memerhati dengan penuh debar apa yang akan berlaku kepada pasu-kan polis pasca Hamid Bador.

Di luar sana boleh dikatakan ramai yang teruja dengan sikap keterbukaan beliau kerana rakyat belum pernah menyaksikan pandangan dan sikap keterbukaan serta kritikal ke atas pasukan polis itu datang daripada ketua polis sendiri.

Seingat Belalang lah, belum pernah berlaku lagi dalam sejarah Polis Diraja Malaysia, KPN dedah dalam pasukan polis sendiri ada kartel sepertimana yang didedahkan oleh Hamid Bador. Sebab itulah sepertimana yang Belalang sebut tadi, semua mata kini tertumpu kepada KPN yang baharu.

* Belalang - Sentiasa tabik hormat kepada polis...