Gurauan rogol cubaan ubah pandangan umum: Mufti Pulau Pinang

Wan Salim Wan Mohd Noor
Wan Salim Wan Mohd Noor
A
A
A

GEORGETOWN - Pandangan umum dilihat mempunyai kuasa dan berkesan bagi mencegah tindakan jenayah daripada berlaku dalam masyarakat.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, apabila pandangan umum berjaya dibentuk untuk membenci dan memandang jijik kepada tindakan atau perlakuan tertentu, maka secara automatiknya ia berperanan mencegah seseorang yang hendak melakukan kejahatan daripada meneruskan keinginannya.

Menurutnya, sejak dahulu lagi pandangan umum terbentuk supaya membenci perbuatan yang boleh mengancam keselamatan awam atau perkara menimbulkan ketakutan serta keresahan dalam kalangan masyarakat.

Jelasnya, ia termasuklah perbuatan merogol dan seumpamanya.

"Justeru seorang perogol sentiasa dipandang sebagai penjenayah yang serius dan dianggap sebagai pengganggu ketenteraman. Perbuatan ini mesti dikutuk sekeras-kerasnya.

"Pembentukan pandangan umum yang berkesan memang mempunyai banyak faedah dan keuntungan kepada negara.

"Ia bertindak sebagai 'polis' dalaman dan dengan itu dapat mengurangkan keperluan kepada pasukan keselamatan dalam membanteras perbuatan-perbuatan jenayah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Dr Wan Salim berkata, pendedahan seorang pelajar di sebuah sekolah di Selangor yang mendakwa seorang guru mata pelajaran Pendidikan Jasmani bergurau secara keterlaluan mengenai rogol boleh dianggap sebagai satu percubaan untuk mengubah pandangan umum yang membenci perbuatan tersebut kepada memandangnya sebagai perkara normal.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tindakan guru tersebut perlu dipandang serius oleh semua pihak.

"Kementerian Pendidikan perlu segera menyiasat kejadian ini dan jika didapati benar maka perlu diambil langkah-langkah berkesan bagi memastikan ia tidak berulang demi memelihara nilai-nilai akhlak supaya tidak terhakis yang akhirnya akan merugikan masyarakat dan negara," katanya.