Kongsi rezeki bersama frontliners

Amilludin (kiri) menyampaikan sumbangan pek makanan kepada petugas di Hospital Shah Alam.
Amilludin (kiri) menyampaikan sumbangan pek makanan kepada petugas di Hospital Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Bersempena bulan Ramadan ini, Pusat Pakaian Hari-Hari Sdn Bhd sekali lagi tampil meraikan petugas barisan hadapan menerusi program Singgah Sinar Iftar 1-Meter bagi menyantuni petugas di Hospital Shah Alam.

Pengarah Pusat Pakaian Hari-Hari Sdn Bhd, Amilludin Latip berkata, pada bulan mulia ini, pihaknya ingin berkongsi rezeki bersama barisan hadapan khususnya petugas hospital yang banyak berdepan cabaran dalam menangani pandemik Covid-19.

Beliau berkata, petugas kesihatan telah banyak berkorban demi memastikan wabak ini dapat dikawal dengan sebaiknya.

“Disebabkan itulah, kami tampil memberi sumbangan ini sebagai tanda sokongan kepada usaha dan pengorbanan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.Menerusi program itu, sebanyak 50 pek makanan berbuka puasa telah diagihkan kepada petugas hospital berkenaan.

Hadir sama bagi menyempurnakan program itu ialah Timbalan Pengarah (Perubatan) 2 Hospital Shah Alam, Dr Ihsan Abdul Razak.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kolaboratif bersama Sinar Harian menerusi program tersebut, Amilludin berkata, inisiatif itu sememangnya amat baik dan wajar mendapat penglibatan daripada pihak swasta lain dalam meraikan golongan barisan hadapan.

Katanya, Pusat Pakaian Hari-Hari sememangnya tidak pernah melepaskan kesempatan pada bulan Ramadan setiap tahun bagi melakukan kerja amal dan mendekati golongan memerlukan.

Artikel Berkaitan:

Dr Ihsan (dua dari kanan) menyerahkan sijil penghargaan kepada Amilludin.
Dr Ihsan (dua dari kanan) menyerahkan sijil penghargaan kepada Amilludin.

“Kita sememangnya secara berterusan sentiasa memberi komitmen menerusi program-program sebegini pada setiap tahun.

“Cumanya pada tahun ini kita membuat sedikit kelainan dengan meraikan petugas barisan hadapan,” katanya.

Di samping itu, Amilludin berkata, program-program sebegini dapat membawa keceriaan buat petugas barisan hadapan tanpa mengira nilai pemberian tersebut.

“Apabila ada syarikat-syarikat luar menyantuni mereka, ia sedikit sebanyak membawa kegembiraan buat mereka menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti,” kata beliau lagi.

Sementara itu, Dr Ihsan ketika diminta mengulas mengenai sumbangan itu berkata, pemberian berkenaan merupakan satu penghargaan buat petugas di hospital terbabit yang berdepan pelbagai cabaran sebelum ini.

Tambahnya, terdapat beberapa kekangan terpaksa dihadapi petugas di hospital itu namun sumbangan beberapa pihak sebelum ini banyak membantu mengurangkan bebanan ditanggung mereka.