X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 24 Oktober 2021

Acryl Sani dilantik Ketua Polis Negara baharu

Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang tamat kontraknya, Isnin depan.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada majlis penyerahan surat pelantikan KPN ke-13 di Kementerian Dalam Negeri di sini pada Jumaat.

Acryl Sani, 60, yang kini berada kedudukan nombor dua pasukan Sang Saka Biru berpengalaman luas dalam tugas kepolisan.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau ialah Timbalan Ketua Polis Daerah, Komandan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ketua Polis Negeri Terengganu dan Perak serta Pesuruhjaya Polis Sarawak.

Selain itu, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu pernah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah dan Timbalan Pengarah di Jabatan Siasatan Jenayah serta menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah di Jabatan Pengurusan.

Acyril Sani juga pernah dilantik menjadi pengarah di beberapa jabatan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman iaitu Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 14 Ogos tahun lalu.

Pada majlis itu, Hamzah berkata, pelantikan Acryl Sani dipersetujui di peringkat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) dan telah ditandatangani oleh Abdul Hamid.

"Apabila semua telah bersetuju, saya telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ia diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA)," katanya.

Menurutnya, Acryl Sani akan memegang jawatan itu sehingga tarikh persaraannya.

"Beliau akan memulakan tugas sebagai KPN pada Selasa depan sehingga persaraan pada Oktober depan," katanya.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Abdul Hamid sepanjang perkhidmatannya lebih dua tahun.

"Hari ini beliau telah mencapai umur 63 tahun dan kita perlu mencari orang baharu supaya apa yang telah dilakukan dapat diteruskan dengan lancar," katanya.

Dalam pada itu, Hamzah memberi amaran kepada mana-mana pihak yang bertindak tidak menimbulkan perasaan tidak senang terhadap pasukan polis.

"Sebelum ini polis dianggap pasukan baik cuma akhir-akhir ini saya hairan ada perkara tidak disenangi dikeluarkan oleh pelbagai kumpulan.

"Kepada yang suka 'bermain' dengan media sosial, jangan timbulkan perasaan yang tidak senang rakyat kepada PDRM," tegasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai kekosongan jawatan Timbalan KPN, beliau berkata, ia akan diisi selepas mendapat perkenan YDPA.

"Senarai nama calon kita akan kemukakan di dalam mesyuarat SPP sebelum dihantar ke YDPA untuk diperkenankan," katanya.

Kontrak perkhidmatan Abdul Hamid dijadual tamat pada 3 Mei.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!