Doktor di hospital kerajaan ditahan terlibat edar dadah

Antara peket dadah disyaki mengandungi ganja dan wang tunai yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Manja, Petaling Jaya pada Rabu.
Antara peket dadah disyaki mengandungi ganja dan wang tunai yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Manja, Petaling Jaya pada Rabu.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang doktor di sebuah hospital awam di Selangor antara enam yang ditahan di sebuah rumah di Taman Sri Manja, di sini, pada Rabu dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kesemua suspek ditahan dalam operasi kira-kira jam 10 malam oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan BSJN IPD Kajang.

"Pemeriksaan di dalam rumah itu menemui 11 peket plastik lut sinar berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat kira-kira 1.9 kilogram (kg) bernilai RM4,900.

"Turut dirampas adalah sejumlah wang tunai RM1,450 selain empat buah kenderaan jenis Honda City, Perodua Viva, Perodua Myvi dan Mitsubishi Triton serta sebuah motosikal jenis Yamaha Nouvo LC," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, saringan air kencing mendapati lima daripada suspek positif dadah.

Katanya, siasatan juga mendapati seorang daripada suspek adalah doktor yang bertugas di sebuah hospital kerajaan di Selangor.

"Kesemua suspek berusia 26 hingga 30 tahun direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan: