X

Kindly register in order to view this article
!

Mat rempit rentas negeri sebab nak makan di Seremban

Antara penunggang motosikal yang ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya LEKAS pada Rabu.
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan 15 'mat rempit' rentas negeri dari ibu negara ke Seremban, Negeri Sembilan undang padah apabila dicekup polis dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) pada Rabu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, operasi bermula jam 10 malam oleh Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman itu telah mengesan kesemua penunggang motosikal terbabit melakukan aksi tunggangan berbahaya.

"Kesemua penunggang yang terdiri daripada tiga geng yang berasingan itu didapati dengan jelas melakukan aksi zig-zag, superman, menundukkan badan dan bersaing sesama sendiri.

"Mereka kemudian ditahan secara berasingan di sebuah restoran di Seremban, Negeri Sembilan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan mendapati kesemua penunggang berusia 18 hingga 34 tahun itu datang dari Kuala Lumpur untuk makan di sebuah restoran di Seremban.

Katanya, selain tindakan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, pihaknya juga akan mengambil tindakan kompaun terhadap kesemua penunggang motosikal terbabit atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran.

"Polis turut menyita semua motosikal jenis Yamaha 15ZR, Yamaha 135LC dan Yamaha 125Z," katanya.

Mohd Nadzri berkata, kesemua tangkapan telah dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dan BSPT IPD Seremban untuk tindakan lanjut.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!