Vierge, Jake idam keputusan lebih baik di Jerez

Vierge pada GP Portugal 18 April lalu.
Vierge pada GP Portugal 18 April lalu.
A
A
A

PELUMBA Moto2 Petronas Yamaha SRT, Xavi Vierge menegaskan dia sudah tidak sabar untuk berlumba di kampung halamannya sendiri sempena Grand Prix (GP) Sepanyol mulai 30 April hingga 2 Mei ini.

Menurut Vierge, berlumba di Litar Jerez pastinya sesuatu yang istimewa kerana dia bakal berlumba di hadapan penonton sendiri yang pasti memberikannya semangat tambahan kali ini.

“Saya benar-benar teruja untuk berlumba di Jerez hujung minggu ini. Litar ini berada di kampung halaman saya dan disebabkan itu, ia agak istimewa.

“Apa pun, kami telah hampir berada di podium pada perlumbaan sebelum ini dan kali ini kami akan berikan segala-galanya untuk berada di podium untuk menjadikan perlumbaan saya di kampung halaman ini lebih istimewa.

“Sebelum ini memang kami memiliki rekod yang baik di Jerez termasuk beberapa kemenangan dan diharapkan ia berulang kali ini,” katanya.

Untuk rekod pada GP Portugal di Litar Algarve 15 hingga 18 April lalu, Vierge terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan pada kedudukan ketujuh dengan catatan masa 39 minit 54.737 saat.

Sementara itu, rakan pelumba, Jake Dixon yang gagal menamatkan perlumbaan di GP Portugal, turut berazam untuk mencatatkan keputusan terbaik pada GP Sepanyol kali ini.

Dixon yang berada pada kedudukan 15 dalam siri Kejuaraan Dunia berharap dapat mengumpul mata pada GP kali ini bagi mengukuhkan kedudukannya dalam siri Kejuaraan Dunia.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun Litar Jerez adalah litar yang kurang saya gemari, tetapi saya mahu memastikan saya dapat ‘menawan’ litar ini dan mengukuhkan kedudukan saya dala siri kejuaraan dunia.

“Ketika ini saya cukup gembira dengan jentera saya dan berharap segalanya berjalan lancar pada perlumbaan di Jerez,” katanya.