CEO GSC terima anugerah Chevalier Perancis

Foto GSC
Foto GSC
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Golden Screen Cinemas (GSC), Koh Mei Lee menerima anugerah Honour of Knight Perancis (Chevalier) yang berprestij kerana sumbangannya yang besar dalam mempromosi seni, muzik dan budaya Perancis melalui filem dan festival filem selama hampir dua dekad.

Anugerah yang membawa gelaran Knight of the National Order of Merit, anugerah kedua tertinggi di negara itu, disampaikan kepada Mei Lee oleh Duta Besar Perancis ke Malaysia, Roland Galharague dalam upacara sederhana yang diadakan di Aurum Theatre, the Gardens Mall di sini Selasa malam.

"Ini suatu penghormatan apabila diletakkan sebaris dengan penerima-penerima sebelum ini, yang semuanya telah menyumbang untuk kemajuan dan pengembangan budaya Perancis di bidang masing-masing.

"Ini adalah hasil usaha bersama banyak pihak termasuk pasukan saya di GSC dan kedutaan Perancis di Malaysia, antaranya, untuk mempromosi budaya Perancis melalui pawagam, dan saya berharap dapat meneruskan perjalanan ini bersama," katanya pada acara itu.

Anugerah itu mengiktiraf komitmen Mei Lee yang tidak pernah jemu mengembang dan menyebarkan budaya Perancis di Malaysia melalui pawagam, dan juga usaha berterusannya untuk menyokong tayangan filem Perancis sebagai sebahagian daripada Festival Le Perancis tahunan melalui GSC.

Usahanya bersama kedutaan Perancis di Malaysia dan Alliance Francaise, institusi rasmi bahasa Perancis dan terbesar di Malaysia, bermula pada 2002 ketika beliau menyertai GSC sebagai CEO.

Bersama minatnya terhadap filem, makanan, dan budaya Perancis, beliau berperanan dalam mendorong Festival Seni dan Filem Perancis, yang baharu saja dimulakan setahun sebelum beliau menyertai GSC (2001) dan dedikasinya yang berterusan secara efektif meletakkan landasan untuk kedutaan lain menjadi tuan rumah festival yang serupa.

Diwujudkan pada 1963 oleh Jeneral Charles de Gaulle, National Order of Merit, Perancis, anugerah kebangsaan kedua selepas Legion of Honor, memberi penghargaan kepada warganegara Perancis dan juga warganegara asing untuk pencapaian mereka yang cemerlang dalam semua bidang. - Bernama

Artikel Berkaitan: