Warga Turki mengaku bersalah miliki rokok seludup

Erol Imamoglu mengaku bersalah miliki rokok seludup bernilai hampir RM10,000 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, pada Rabu
Erol Imamoglu mengaku bersalah miliki rokok seludup bernilai hampir RM10,000 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, pada Rabu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang warga Turki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu terhadap pertuduhan memiliki pelbagai jenis rokok seludup bernilai RM8,190, pada 14 April lalu.

Tertuduh, Erol Imamoglu, 41, berasal dari Surmene, Turki membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki pelbagai jenis rokok melibatkan 450 karton yang ditaksirkan bernilai RM8,190 dan melibatkan cukai import sebanyak RM19,800 di atas lantai beranda rumah di Kampung Tok Dir, Pengadang Buloh, di sini dan di dalam kereta Naza berwarna silver.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 yang merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135 (1) (v) (ada) akta yang sama, lebih kurang jam 11.45 pagi, pada 14 April lalu.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh yang fasih berbahasa Melayu boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang iaitu RM81,900 atau RM100,000 mengikut mana-mana yang lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang iaitu RM163,800 atau RM500,000 mengikut mana-mana yang lebih besar atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Terengganu manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 31 Mei ini untuk jatuh hukum sementara menunggu laporan kimia.

Artikel Berkaitan: