Saya akan pertahankan kerusi DUN Rantau: Tok Mat

Mohamad Hassan
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan akan mempertahankan kerusi DUN Rantau selepas kemenangan beliau pada PRU14 lalu diputuskan tidak sah dan terbatal.

Ia selepas Mahkamah Persekutuan yang bersidang hari ini menolak rayuan yang dikemukakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Ini bermakna satu lagi PRK perlu diadakan dalam tempoh sedikit masa lagi, di kawasan N27 Rantau, Negeri Sembilan.

“Saya akan pertahankan kerusi DUN Rantau, Insha ALLAH,”katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan yang dikemukakan ADUN Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan dan SPR.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum.

Malanjum ketika membuat keputusan itu berkata, Dr. S. Streram mempunyai locus standi (hak yang sah di sisi undang-undang) untuk mengemukakan petisyen pilihanraya.

Sebelum ini, Mahkamah Khas Pilihan Raya pada 16 November tahun lalu memutuskan kemenangan calon BN (Mohamad) di DUN Rantau pada PRU14 yang lalu adalah tidak sah dan terbatal.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azimah Omar di sini hari ini yang mengarahkan pilihan raya kecil diadakan selepas kerusi DUN berkenaan dimenangi Mohamad tanpa bertanding pada 28 April lalu.