Elak kereta terbabas, remaja perempuan maut

Keadaan motosikal dinaiki mangsa selepas kejadian.
Keadaan motosikal dinaiki mangsa selepas kejadian.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang remaja perempuan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas kerana mahu mengelak sebuah kereta yang terbabas, di KM26.5 Jalan Johor Bahru - Gelang Patah - Pendas awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, mangsa Norfitria Idayu Mohd Zamri, 19, meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketika kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan menuju ke Lima Kedai dari Gelang Patah.

Berdasarkan siasatan awal, mangsa pada mulanya cuba mengelak sebuah kenderaan yang terbabas, namun motosikal dinaikinya pula terbabas.

"Kejadian berlaku apabila sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza melanggar tembok pembahagi jalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum dilanggar mangsa.

"Ekoran kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di tempat kejadian oleh pihak perubatan yang tiba sejurus kemalangan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Temenggong Sri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai, untuk bedah siasat.

Sehingga kini polis menanti jika ada saksi bebas yang tampil untuk memberikan keterangan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan menyeluruh akan dibuat, kita juga meminta mana-mana saksi kejadian untuk membantu kes ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.