UMNO kekal sokong PN sehingga Ogos

Tajuddin menjawab soalan pemberita selepas selesai Mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato Onn pada Ahad
Tajuddin menjawab soalan pemberita selepas selesai Mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato Onn pada Ahad
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengesahkan parti itu kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Ogos depan.

Beliau berkata, ia sebagaimana keputusan yang dicapai dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Mac lalu.

Beliau berkata, berikutan itu perkara berkenaan tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berakhir kira-kira jam 6 petang Ahad.

"Tarikh keluar (tarik sokongan) daripada PN sudah diputuskan iaitu sehingga Ogos. "Selagi tidak sampai Ogos, kita kekal menyokong (PN)," katanya selepas selesai Mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato' Onn di sini pada Ahad.

Mesyuarat yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu dihadiri barisan ahli MKT kecuali Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sebelum ini, terdapat desas desus UMNO akan menentukan tempoh masa untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN menerusi mesyuarat pertama MKT itu selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Mac lalu.

Sementara itu, Tajuddin yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO meminta agar ketidakhadiran Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat tidak dispekulasikan.

Beliau menjelaskan, Mohamad tidak hadir kerana baru selesai menjalani pembedahan kecil.

Artikel Berkaitan:

"Presiden (Ahmad Zahid) ada sampaikan salam beliau (Mohamad) kepada semua (iaitu sebelum mesyuarat bermula)," katanya.