PKPD di SMK Sains Banting dilaksanakan

Kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Langat pada Sabtu.
Kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Langat pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sekolah Menengah Sains Banting, Kuala Langat dilaksanakan bermula Sabtu hingga 7 Mei 2021.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Langat memaklumkan PKPD ke atas sekolah berstatus Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tersebut dilaksanakan berikutan terdapat jangkitan Covid-19 ke atas Kluster Jalan Shah Banting.

Menurut kenyataan tersebut, PKPD tersebut melibatkan keseluruhan kawasan sekolah dengan anggaran seramai 966 orang terdiri daripada 836 orang pelajar, 70 orang guru, 21 orang staf, 6 orang warden asrama, 20 orang pekerja dewan makan, 6 orang pekerja pembersihan dan 7 orang pekerja keselamatan.

“Kes Indeks pertama adalah seorang pelajar Tingkatan 1 yang mula dikesan bergejala pada 12 April 2021 dan disahkan positif pada 15 April 2021.

“Kes kedua dan ketiga yang dikesan positif pula adalah kontak rapat kepada kes pertama.

“Hasil daripada tiga kes terbabit, pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat menjalankan siasatan serta penilaian awal terhadap 206 ujian saringan awal yang dilakukan ke atas kontak rapat, dan seramai 71 orang pelajar disahkan positif Covid-19,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, PKD Kuala Langat turut mengesahkan penularan kes masih berlaku di lokaliti terbabit dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

Ujarnya, pihak tersebut menjalankan 267 ujian saringan lanjutan pada Jumaat yang menjadikan jumlah keseluruhan telah menjalani ujian setakat ini adalah seramai 473 orang.

Artikel Berkaitan:

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah akan membuka Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang beroperasi 24 jam di kawasan PKPD.

“Sebarang pergerakan keluar dan masuk ke kawasan ini adalah tidak dibenarkan kecuali atas tujuan kecemasan setelah mendapatkan kebenaran dari PKOB.

“Semua penghuni di kawasan terlibat perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dari masa ke masa,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD di Sekolah Menengah Sains Banting bermula esok