'Suami memang mahu jual bot itu'

Che Rohani menunjukkan gambar suaminya yang tersimpan di dalam telefon bimbitnya.
Che Rohani menunjukkan gambar suaminya yang tersimpan di dalam telefon bimbitnya.
A
A
A

KOTA BHARU - Pemilik bot yang dipercayai terbalik dan dikhuatiri hilang di lautan berhasrat mahu menjual bot itu minggu lepas sebelum terlibat kemalangan tersebut pada Jumaat.

Che Rohani Majid, 49, berkata, suaminya, Mat Awang@Jali, 54, meluahkan hasrat itu kepadanya sebelum mangsa dan dua lagi rakannya dikhuatiri hilang setelah keluar mencandat sotong.

"Suami beritahu mahu jual bot minggu lepas walaupun baru saja membelinya empat tahun lalu. Banyak kali dia beritahu saya hasrat jual bot tersebut tapi dia masih turun ke laut untuk mencandat sotong bersama rakan-rakannya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di sini pagi Sabtu.

Menurutnya, ketika keluar rumah kira-kira jam 11 pagi, bapa kepada empat anak itu tidak menunjukkan sebarang kelakuan aneh.

"Mencandat sotong salah satu hobi suami dan saya tidak pernah menghalang dia turun ke laut. Saya harap dia pulang dengan selamat kerana saya dan anak-anak mahu menyambut hari raya bersamanya," luah Che Rohani dengan penuh harapan.

Mengenai hari kejadian kata Che Rohani, dia cuba menghubungi suaminya itu pada jam 5 petang dan 10 malam namun gagal selain pesanan mesej yang dikirimnya juga tidak berbalas.

"Pada jam 7 pagi tadi anak saudara saya beritahu mengenai kejadian ini dan saya terus bergegas ke jeti untuk menunggu perkembangan semasa mengenai usaha mencari dan menyelamat," katanya.

Mat Awang antara tiga lelaki yang dikhuatiri hilang dalam kejadian bot terbalik di perairan Kuala Besar, di sini.

Artikel Berkaitan:

Dua mangsa lain yang terlibat ialah Zulshamin Danial Zulazman, 26 tahun dan Mat Harun Mohd Nor, 57 tahun.