Kartel daging: Syarikat, dua pengarah dan pengurus didakwa

Kim Kuang (depan) dan Chee Keong didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Khamis.
Kim Kuang (depan) dan Chee Keong didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebuah syarikat bersama dua pengarah dan seorang pengurusnya didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini pada Khamis atas empat pertuduhan bersubahat dan memiliki barangan larangan berupa produk sejuk beku.

Produk sejuk beku itu membabitkan sebanyak 5,224 kotak bahagian ayam, kambing, lembu, ayam belanda dan itik bernilai RM643,465.39.

Tertuduh iaitu Syarikat LY Frozen Food Sdn Bhd bersama pengarahnya, Yong Chee Keong, 40, dan Tan Siew Huak, 42, yang masih bebas serta pengurus, Chong Kim Kuang, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman dan Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan pertama, syarikat berkenaan dengan kedua-dua tertuduh dan seorang lagi yang masih bebas didakwa bersubahat dan memiliki sebanyak 4,018 kotak bahagian ayam, kambing, lembu, ayam belanda dan itik sejuk beku yang bernilai RM488,973.91.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Taman Perindustrian Desa Idaman, Senai, Kulai pada jam 10.30 pagi, 15 Disember lalu.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa bersubahat dan memiliki sebanyak 220 kotak bahagian ayam sejuk beku jenama Qualiko bernilai RM30,723.

Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam sebuah lori jenis Isuzu di premis Taman Perindustrian Desa Idaman, Senai, Kulai pada jam 5 petang, 15 Disember lalu.

Pertuduhan ketiga pula, mereka didakwa bersubahat dan memiliki enam kotak bahagian lembu sejuk beku jenama Riverlands bernilai RM2,787.48.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam sebuah lagi lori jenis Isuzu dengan nombor pendaftaran berbeza di sebuah premis di Taman Perindustrian Desa Idaman, Senai, Kulai pada jam 5 petang, 15 Disember lalu.

Bagi pertuduhan keempat pula, mereka didakwa bersubahat dan memiliki bahagian ayam sejuk beku jenama BB Butterfly sebanyak 980 kotak bernilai RM120,981.

Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam sebuah lori jenis Hino di premis Taman Perindustrian Desa Idaman, Senai, Kulai pada jam 5 petang, 15 Disember lalu.

Kesemua bahagian daging berkenaan dilarang import mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import).

Mereka didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda minimum tidak kurang 10 kali ganda nilai iaitu RM4.89 juta atau RM50,000 yang mana lebih tinggi, sehingga minimum 20 kali ganda nilai iaitu sebanyak RM9.78 juta atau RM500,000 yang mana lebih tinggi, penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali.

Mahkamah juga perlu melupuskan barangan disita dan dilucut hak kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengikut Peruntukan Perintah Pelupusan Barang di bawah Seksyen 127 Akta Kastam 1967.

Sebaik pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 3 Jun depan.

Mahkamah turut membenarkan Chee Keong diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin, manakala Kim Kuang diikat jamin RM60,000 dengan dua orang penjamin.

Kedua-duanya turut diperintahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap dua minggu sekali.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza Jaafar dan Nur Suriati Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam Zamri Idrus, Ridzuan Othman dan Saiful Zaman Abd Rahman.

Pada 9 Februari lalu, syarikat berkenaan bersama dua pengarah dan seorang pengurusnya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas 21 pertuduhan memiliki, menawarkan dan menggunakan logo halal palsu serta tanpa kelulusan untuk membekalkan daging sejuk beku, awal Disember lalu.