Tahap perolehan industri aeroangkasa dijangka pulih seawal 2022

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Industri aeroangkasa diunjurkan pulih dan mencatatkan semula prestasi perolehan seperti sebelum berlakunya pandemik Covid-19 seawal tahun depan, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, unjuran itu boleh dicapai sekiranya Malaysia terus memanfaatkan pakej kerja baharu yang memberi impak positif kepada keseluruhan ekosistem melalui penyetempatan produk.

“Pemulihan akan dipercepat jika industri dapat memperluas lagi perkhidmatan kargo udara, penerbangan perniagaan serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), di samping perkhidmatan latihan profesional,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada webinar Airbus Malaysia Connect di sini, pada Khamis.

Beliau berkata pandemik telah menjejaskan industri aeroangkasa Malaysia dengan perolehan keseluruhan merosot 20 hingga 30 peratus pada 2020 daripada perolehan RM16.22 bilion pada 2019.

Mohamed Azmin berkata, penerbangan komersial merupakan subsektor yang paling terjejas teruk berikutan penutupan sempadan antarabangsa dan perintah kawalan pergerakan domestik dengan pembuatan aeroangkasa dan perniagaan MRO mengalami pesanan tertunda dan perkhidmatan penyelenggaraan yang tinggi.

“Kebanyakan aktiviti pembuatan dan perkhidmatan aeroangkasa terhenti sementara, manakala sebahagian pekerja diberhentikan atau diberikan cuti sementara berikutan larangan perjalanan di seluruh dunia selain pesawat komersial dan perniagaan tidak beroperasi.

“Memandangkan pembuat pesawat mengurangkan kadar pengeluaran buat sementara waktu untuk menyesuaikan operasi dengan persekitaran pasaran yang mengalami penyusutan, saya ingin memaklumkan bahawa ada kalangan mereka yang berada dalam ekosistem rantai bekalan telah memanfaatkan kelembapan permintaan untuk mengatur semula kewangan dalam pembangunan kemampuan dan teknologi baharu,” katanya.

Dalam melangkah maju, beliau menggesa komuniti aeroangkasa untuk terus menyesuaikan operasi mereka dan bersedia dengan apa sahaja yang mendatang.

Artikel Berkaitan:

“Ketika kita bergerak maju bagi merebut peluang baharu, amat penting untuk kerajaan dan pihak industri bekerjasama secara strategik untuk menjadikan sektor ekonomi penting ini kembali kukuh dan melonjak ke tahap pencapaian dan kecemerlangan baharu,” katanya. -Bernama