Hino Malaysia serah 32 bas midi kepada Mara

Atsushi Uchiyama (dua dari kiri) menyerahkan kunci bas kepada Azizah.
Atsushi Uchiyama (dua dari kiri) menyerahkan kunci bas kepada Azizah.
A
A
A

SHAH ALAM - Hino Motors Sales Malaysia (HMSM) Sdn Bhd menyerahkan 32 bas midi HINO XZU720R-HKFRL1 kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi memberi perkhidmatan pengangkutan di kawasan luar bandar di Semenanjung Malaysia.

Pengerusi Mara, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, peruntukan itu selari matlamat Mara dalam menawarkan perkhidmatan dan fasiliti pengangkutan awam terbaik.

“Pemberian bas baharu ini adalah inisiatif kami untuk memastikan perkhidmatan awam kepada masyarakat berada pada tahap yang baik.

“Setiap bas baharu ini dibina sesuai dengan Peraturan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) oleh agensi Malaysia untuk beri yang terbaik kepada masyarakat,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Industri Pengangkutan Mara, Fazli Rizal Ismail berkata, jenama Hino mula muncul di rangkaian bas pihaknya sejak tahun 80-an.

“Kita dapat lihat bahawa Hino telah menetapkan standardnya untuk menyokong keperluan pelanggan.

“Hino juga telah menunjukkan pendekatan berpusatkan pelanggan dan memahami sepenuhnya keperluan perniagaan kami,” katanya.

Katanya, Hino tidak pernah gagal memberikan keutamaan yang membolehkan rangkaian bas Mara beroperasi di seluruh Semenanjung.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pengarah Urusan HMSM, Atsushi Uchiyama turut berterima kasih kepada Mara atas keyakinan terhadap produk mereka.

“HMSM akan memberikan sokongan terbaik melalui kaedah yang paling cekap dan boleh dipercayai.

“Ini juga merupakan komitmen kami untuk mengekalkan hubungan pelanggan dengan mendengar dan memahami perubahan keperluan pelanggan sebelum bertindak balas terhadap mereka,” katanya.