Fokus pendedahan antarabangsa lebih ramai atlet muda

No Image Caption
A
A
A

YAYASAN Kecemerlangan Sukan Malaysia (SportExcel), yang menyambut ulang tahunnya ke-30 tahun menyasarkan untuk memberikan pendedahan antarabangsa kepada lebih ramai atlet muda.

Pengarah Eksekutif SportExcel, C Sivanandan berkata, pada masa ini kebanyakan atlet mudanya yang menyertai kejohanan antarabangsa terdiri daripada pemain golf, menerusi Kejohanan Golf Junior Antarabangsa AmBank-SportExcel.

Bagaimanapun yayasan itu yang telah menyediakan peluang kepada pemain squash seperti Datuk Nicol David, ratu boling Shalin Zulkifli dan pemain utama golf negara Gavin Kyle Green sebelum mereka menjadi bintang, mahu memberikan pendedahan antarabangsa kepada atlet muda daripada 11 jenis sukan.

“Kami mahu memberikan impak yang lebih besar dalam pembangunan atlet muda, jadi daripada hanya program elit, kami mahu pergi ke program pada peringkat lebih tinggi, seperti menghantar lebih ramai atlet ke kejohanan antarabangsa.

“Kita tidak mempunyai kejohanan antarabangsa ataupun pendedahan mencukupi... kami akan hantar atlet ke luar negara dua atau tiga kali setahun, bagi mendapatkan pendedahan antarabangsa yang diperlukan. Kami akan sasarkan dan dedahkan mereka kepada pertandingan yang lebih tinggi pada tahun terakhir program itu,” katanya.

Walaupun terpaksa menghadapi kekangan kewangan akibat pandemik Covid-19, Sicanandan berkata, yayasan itu komited dalam meyakinkan orang ramai kepentingan pembangunan bakat muda, dan dalam masa yang sama mempunyai rekod yang bagus untuk potensi tajaan.

“Kami telah melahirkan ramai atlet terbaik dan kami juga mempunyai ribuan atlet muda untuk mula menyertai peringkat antarabangsa. Kami akan bekerja keras dalam mengumpulkan dana dan cuba untuk mencari lebih banyak syarikat untuk tampil dan menjadi rakan kongsi kami,” katanya.

Ditubuhkan pada 19 April 1991, SportExcel di bawah kepimpinan Pengerusinya Tan Sri Tunku Imran Tunku Ja’afar, kini membantu atlet muda dalam tenis, taekwondo, squash, menembak, sepak takraw, renang, berbasikal, gimnastik, boling, kriket dan olahraga, serta golf. - Bernama

Artikel Berkaitan: