Piala AFF Suzuki: Operasi LRT lanjut 1 pagi

 Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) Suzuki 2018
Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) Suzuki 2018
A
A
A
ORANG ramai disaran menggunakan LRT ke Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini untuk menyaksikan perlawanan peringkat pertama separuh akhir Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) Suzuki 2018 antara Malaysia dan Thailand kerana perkhidmatan LRT di stesen Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga 1 pagi.

Menurut Rapid Rail Sdn Bhd lanjutan waktu operasi dilakukan berikutan jangkaan kehadiran penyokong yang lebih besar jumlahnya daripada perlawanan Sabtu lepas ketika Malaysia menentang Myanmar ekoran langkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengurangkan harga tiket.

"Untuk keselesaan, pengguna boleh menggunakan LRT laluan Sri Petaling berintergrasi dengan LRT laluan Kelana Jaya di Stesen LRT Putra Height dan Masjid Jamek; serta berintergrasi dengan MRT laluan Sungai Buloh-Kajang di Stesen MRT Merdeka, yang berhubung dengan Stesen LRT Plaza Rakyat.

Ia juga berhubung dengan perkhidmatan KTM Komuter di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, sekali gus menjadi pilihan terbaik pengguna ke Stadium Bukit Jalil, “menurut kenyataan itu.

Pengguna juga dinasihatkan menggunakan fasiliti parkir dan gerak (park 'n ride) di sepanjang laluan Sri Petaling khususnya di stesen-stesen Putra Height, Awan Besar, Muhibbah, Kinrara BK5, IOI Puchong jaya, Pusat Bandar Puchong, Taman Perindustrian Puchong, Sungai Besi dan Bandar Tasik Selatan lalu meneruskan perjalanan menggunakan LRT ke Bukit Jalil, katanya.

Jelas Rapid Rail, stesen-stesen LRT dan MRT lain akan ditutup seperti biasa tetapi memberi laluan untuk semua penumpang keluar di stesen-stesen berkenaan dan meneruskan perjalanan masing-masing di stesen pertukaran sama ada di Stesen Maluri atau Stesen Plaza Rakyat dan Merdeka untuk menggunakan perkhidmatan MRT; atau di Masjid Jamek untuk ke laluan Kelana Jaya.

Di samping itu, para penumpang juga boleh bertukar ke laluan Kelana Jaya atau MRT di stesen pertukaran Pasar Seni.

"Pengguna juga disarankan menggunakan kad perjalanan MyRapid dan Touch 'n Go untuk perjalanan lebih lancar di semua stesen terlibat dan menggelakkan daripada beratur panjang untuk membeli token perjalanan di mesin penjualan tiket.

"Alternatif lain adalah membeli token untuk perjalanan pulang sebaik saja sampai di Stesen LRT Bukit Jalil namun pengguna perlu memastikan token tersebut tidak hilang ketika berada di stadium," katanya. - Bernama
Artikel Berkaitan: