Penang tidak layak menang kata Trucha

Antara aksi menarik pertemuan PJ City menentang Penang di Petaling Jaya pada Ahad. - Foto Penang FC
Antara aksi menarik pertemuan PJ City menentang Penang di Petaling Jaya pada Ahad. - Foto Penang FC
A
A
A

KETUA Jurulatih Penang FC, Tomas Trucha menghargai 16 mata yang dikutip anak buahnya untuk berada di tangga keempat selepas sembilan perlawanan dan bukannya merintih peluang yang terlepas.

Pendatang baharu Liga Super, boleh menduduki tempat kedua, empat mata di belakang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) sekiranya mereka mengalahkan Petaling Jaya (PJ) City FC tetapi terikat 1-1.

“Kita harus hargai di mana kita berada, kita pendatang baharu, pasukan baharu, setiap permainan penting bagi kami. PJ City bermain dengan baik, kami perlu menghormati cara mereka bermain dan setiap mata adalah penting bagi kami... Malam ini (Malam tadi) kami tidak layak menang.

“Situasinya adalah untuk permainan lain dan permainan yang lain lagi, jadi kami berada di mana kedudukan kami (keempat) sebelum ini, tetapi kami melakukan perkara yang betul,” katanya selepas tamat perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada Ahad.

Trucha yang mengakui Harimau Kumbang akan berada di kedudukan lebih baik jika mereka berjaya menewaskan PJ City, juga memuji penyerang import dari Brazil, Casagrande yang menanduk gol penyamaan pada minit ke-48, selepas menggantikan V Ruventhiran meletakkan The Phoenix di depan pada minit ke-39.

Sementara itu, Ketua Jurulatih PJ City, P Maniam yang memasukkan Ruventhiran seawal minit ketiga bagi menggantikan D Kugan yang cedera, memuji kerja keras pemain berusia 19 tahun itu.

“Dia telah bermain lima perlawanan dan telah menimba pengalaman yang baik pada usia muda. Dia mahu bermain, kami berinya peluang dan dia bekerja keras... Ini sesuatu yang baik untuk pemain muda dan semoga dia berjaya pada perlawanan akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Maniam juga berpuas hati dengan semangat juang anak buahnya, tekad dan prestasi keseluruhan walaupun terpaksa berkongsi mata.

Artikel Berkaitan:

“Kami bermain dengan sangat baik terutama pada babak pertama apabila kami berjaya masuk ke kawasan (serangan) sebanyak 17 kali, berbanding tujuh kali bagi Penang. Serangan dan build up kami bagus, tetapi kami hilang fokus dalam beberapa minit pertama selepas rehat dan Penang menghukum kami.

“Penang adalah kelab yang baik, bermain dengan baik untuk pengendalinya dan bekerja keras, banyak perkara positif dimiliki pasukan itu. Bukan mudah untuk menentang mereka yang diwakili pemain tempatan sepenuhnya. Kami masih berjaya memberi tentangan dan kami tidak dibolosi empat atau lima-kosong,” kata Maniam.

Penang dijadual berdepan Sri Pahang di Stadium Bandaraya pada Sabtu ini manakala PJ City akan bertemu jiran terdekat UiTM di Stadium UiTM, Shah Alam.