Papagomo ditahan, akan fail saman fitnah terhadap Syed Saddiq

A
A

SHAH ALAM - Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali dengan panggilan Papagomo mengesahkan beliau telah ditahan polis berhubung dakwaan mengasari Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdullah.

Menurut Papagomo, beliau dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk memberi keterangan selepas Ahli Parlimen Muar itu membuat laporan polis terhadapnya semalam.

“Polis telah datang ke rumah dan meminta saya untuk mengikuti mereka ke balai bagi memberi keterangan dan saya sedia memberi kerjasama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Katanya lagi, beliau juga akan membuat laporan polis ke atas Ketua Armada Bersatu itu kerana membuat laporan palsu.

“Selepas selesainya sahaja memberi keterangan kepada polis. Saya akan membuat laporan ke atas beliau kerana memberi keterangan palsu. Saya mempunyai bukti semasa kejadian.

“Sekiranya benar saya berbuat demikian (mencekik) beliau sudah pasti saya telah ditahan polis yang sememangnya berada di lokasi kejadian semalam,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau juga akan memfailkan saman fitnah terhadap menteri berkenaan atas tuduhan beliau dicekik semasa insiden kekecohan selepas penamaan calon PRK Semenyih, semalam.

“Saya tidak pasti apa motif beliau (berbohong). Sedangkan saya cuba untuk meleraikan ketegangan selepas beliau (Syed Saddiq) cuba membuat provokasi dengan memasuki kawasan penyokong BN.

Terdahulu, tular klip video berdurasi 22 saat yang memaparkan Syed Saddiq dilihat dikerumuni penyokong BN, sambil diiringi polis dan Unit Amal Pas serta diekori sekumpulan individu yang menjerit dalam suasana yang kecoh.

Berikutan insiden tersebut Syed Saddiq membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way dan polis mengesahkan menerima dua laporan berhubung insiden itu daripada anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kajang.