Lelaki sebabkan kematian anggota polis direman seminggu

Mayat Muhammad Iqbal dibawa ke Kuala Besut, Terengganu awal pagi Ahad untuk dikebumikan di sana. Gambar kecil: Soffian Santong
Mayat Muhammad Iqbal dibawa ke Kuala Besut, Terengganu awal pagi Ahad untuk dikebumikan di sana. Gambar kecil: Soffian Santong
A
A
A

GEORGETOWN - Lelaki yang menyebabkan kematian seorang anggota polis dalam kemalangan pada awal pagi Sabtu direman tujuh hari sehingga 24 April ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, permohonan reman dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan ke atas suspek yang berusia 35 tahun itu.

"Suspek direman bermula hari ini sehingga 24 April," katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Dalam kejadian awal pagi Sabtu, Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan, 22, maut dalam kemalangan ketika mengejar penjenayah di Jalan Utama di sini pada jam 1.35 pagi, Sabtu.

Muhammad Iqbal yang merupakan anggota di Balai Polis Datuk Keramat sedang membuat rondaan cegah jenayah bersama dua rakan setugasnya.

Ketika rondaan itu, Muhammad Iqbal bersama dua rakannya terserempak dengan seorang lelaki sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Ketika ditahan, suspek terus memecut laju motosikal ke arah Jalan Scotland lalu dikejar oleh ketiga-tiga anggota polis tersebut termasuk Muhammad Iqbal.

Ketika tiba persimpangan lampu isyarat, motosikal Muhammad Iqbal bergesel dengan suspek yang disyaki tokan dadah lalu terjatuh dan kepalanya terhantuk pada pembahagi jalan.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Iqbal maut di tempat kejadian, manakala suspek yang berusia 35 tahun berjaya ditahan.

Ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati suspek yang mempunyai 11 rekod jenayah positif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

ARTIKEL BERKAITAN: Telekung merah pemberian terakhir arwah Iqbal kepada ibu