Azmin, Zuraida masih orang kuat PKR

Datuk Saifuddin Abdullah
Datuk Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUANTAN - Desas-desus kononnya Timbalan Presiden PKR , Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin dipecat daripada parti itu mungkin dilakukan pihak yang ada agenda tertentu.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, khabar angin yang tersebar di media sosial sejak beberapa hari lalu itu adalah tidak benar.

Menurutnya, perkara itu tidak pernah didengari dan percaya dakwaan hanya khabar angin.

No Image Caption

“Mohamed Azmin dan Zuraida masih bersama PKR dan kedua-duanya merupakan orang kuat parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Anjuran Persatuan Tionghua Kuantan, di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, dekat sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abd Rahim Muda mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Mohamed Azmin dan Zuraida sendiri sudah menafikan khabar angin itu dan menganggapnya sebagai berita palsu yang diulang semula oleh pihak yang tidak senang dengan kerajaan ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Saifuddin turut menolak khabar angin mengenai kemungkinan Mohamed Azmin dan Zuraida bakal menyertai Bersatu dan menyifatkan ia tidak masuk akal.

"Mereka masih ahli PKR dan kekal sebagai orang kuat parti... jadi, perkara itu juga hanya khabar angin," katanya.